Hidup serba kekurangan bukan alasan besarkan 8 anak hingga berjaya
IPOH - Hidup serba kekurangan dengan pendapatan kecil tidak menghalang Rohani Tandaik, 65, memberikan pendidikan terbaik kepada lapan anaknya.
Harapan tinggi melihat anak-anak berjaya mendorong Rohani melakukan pelbagai kerja termasuk menggubah barang hantaran, menjual kuih raya serta menjahit langsir selepas arwah suaminya, Ramli Norddin menghadap Ilahi pada tahun 1998 akibat kanser paru-paru.
Rohani berkata, walaupun mempunyai kerja tetap sebagai Pembantu Tadbir Kesetiausahaan, ia belum cukup menampung keperluan anaknya yang ketika itu berusia 3 hingga 18 tahun.
"Pahit getir membesarkan anak biasalah saya sebagai ibu tunggal tetapi memandangkan anak yang ramai dan keperluan yang agak besar saya sanggup buat kerja sampingan.
"Sampai satu tahap saya terpaksa menjual satu-satunya kereta yang dimiliki untuk menampung perbelanjaan anak nombor empat ketika itu melanjutkan tempoh pengajian satu semester lagi," katanya.
Rohani ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Keluarga Ammar Bin Yasir (Tokoh Keluarga Mithali) pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri di Pusat Konvensyen Casuarina@Meru di sini pada Isnin.
Pada majlis itu, nenek kepada 17 cucu itu turut menerima wang RM10,000, pakej menunaikan umrah bernilai RM9,000, plak dan sijil penghargaan yang disampaikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Tambah Rohani, dia selalu mengingatkan anak-anak untuk menggalas harapan arwah ayah mereka yang mahukan semuanya berjaya dalam pendidikan dan kehidupan.
"Selain itu saya selalu mengingatkan mengenai kesusahan keluarga dan beri motivasi untuk terus tabah menghadapi apa sahaja ujian yang mendatang.
"Alhamdulillah, anak-anak semuanya kini sudah berjaya dan ada kehidupan yang baik. Sebagai ibu, saya sangat bersyukur,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!