Suria FM cari pelapis industri hiburan

Lebih 8,000 peminat mengambil peluang hadir pada kedua-dua hari serta dihiburkan barisan artis seperti Ernie Zakri, Ara Johari, Haqiem Rusli, Zamani dan Kristal X.
Lebih 8,000 peminat mengambil peluang hadir pada kedua-dua hari serta dihiburkan barisan artis seperti Ernie Zakri, Ara Johari, Haqiem Rusli, Zamani dan Kristal X.
A
A
A

SIRI jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire membawa misi tersendiri kali ini iaitu mencari pelapis dan memperkasa industri hiburan tempatan.

Menerusi aktiviti KiraOke Suria yang dijalankan pada setiap lokasi jelajah kali ini membuka peluang bukan saja untuk mencari penyanyi malah bakat lain termasuk penyampai dan pempengaruh.

Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid berkata, penyertaan yang diterima juga sangat menggalakkan sehingga hari ini termasuk mereka yang sanggup hadir dari jauh.

"Di Pulai Pinang saja kami menerima lebih 30 penyertaan awal sebelum disenarai pendek sehingga lima yang bersaing pada peringkat akhir yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM16,500 bagi tiga pemenang utama setiap lokasi.

"Kami juga terharu kerana ada peserta di Bukit Mertajam ini datang jauh iaitu dari Putrajaya dan Subang, Selangor untuk mencuba nasib.

"Lebih dari itu bakat yang kami cari juga bukan hanya sebagai penyanyi tetapi juga mereka yang ada personaliti dan bakat lain menerusi suara termasuk penyampai radio dan pempengaruh," katanya.

Lebih mesra dikenali sebagai DJ Lin, dia berkata, peluang untuk semua mencuba nasib masih terbuka di tiga lokasi lain iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Penyampai Suria Fm, Ajak tidak melepaskan peluang mendekati pendengar.
Penyampai Suria Fm, Ajak tidak melepaskan peluang mendekati pendengar.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pada jelajah kali ini penaja terbabit iaitu Yaya Empire turut membawa misi mahu memartabatkan penyanyi dikir yang terkenal di Kelantan.

Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa berkata, pihaknya membawa penyanyi dikir di setiap lokasi dalam usaha memperkenalkan mereka kepada peminat dan pendengar Suria FM.

"Kami mahu lebih ramai membuka mata dan menghargai bakat seni penyanyi dikir yang sangat terkenal di Kelantan dan turut popular di media sosial seperti TikTok.

"Kami sendiri di Yaya Empire memang sudah lama bekerjasama erat dan menyokong penyanyi dikir ini kerana keunikan mereka.

"Pada saya irama yang dibawa penyanyi ini juga boleh mendunia dan diterima termasuk beberapa lagu popular seperti Bey Soba Bey yang turut viral antarabangsa," katanya.

Lebih menarik pada edisi jelajah di Kelantan kelak, pertandingan KiraOke Suria bakal menggunakan format pencarian bakat baharu penyanyi dikir di negeri itu.

Katanya, menjadi harapannya agar penyanyi dikir akan diterima baik serta lagu nyanyian mereka akan berkumandang dalam radio tempatan.

Dalam siri jelajah di Mydin Mall Bukit Mertajam hujung minggu lalu, lebih 8,000 hadir pada kedua-dua hari serta dihiburkan barisan artis seperti Ernie Zakri, Ara Johari, Haqiem Rusli, Zamani dan Kristal X.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!