Tugu peringatan Perang Kundasang kenang peristiwa tragis tentera Australia, British
Menyingkap semula apa yang berlaku di Sabah yang dulu dikenali sebagai Borneo Utara sebelum mencapai kemerdekaan, terdapat peristiwa yang menyayat hati bagi askar Australia dan British yang pernah berada di wilayah ini.
Antara sejarah yang rakyat Malaysia harus ingati ialah peristiwa 'Deaths March' di Sandakan dan Ranau merujuk kepada peristiwa paling tragis dalam sejarah semasa Perang Dunia Kedua yang berlaku antara tahun 1945.
Apa yang berlaku ketika itu, tentera Jepun yang menduduki Borneo memaksa tahanan perang British dan Australia untuk berjalan kaki dari Sandakan ke pedalaman Ranau sejauh 265 kilometer.
Tindakan itu diambil selepas Jepun menyedari bahawa mereka akan kalah dalam peperangan dan risau pihak Bersekutu akan menyerang Borneo Utara lalu mereka memindahkan tahanan ini dari kem tahanan di Sandakan ke Ranau.
Bermulalah kisah tragis tahanan Australia dan British apabila mereka dipaksa berjalan kaki dalam keadaan sangat teruk, tanpa bekalan makanan dan ubat yang mencukupi.
Tahanan diperlakukan dengan kejam dengan melalui perjalanan yang panjang dan menyeksakan di hutan tebal, tanah yang berbukit-bukau dan sungai-sungai yang deras di mana mereka keletihan, kelaparan dan sakit.
Ramai daripada mereka meninggal dunia akibat kelaparan, penyakit, keletihan melampau, atau dibunuh oleh tentera Jepun jika mereka tidak dapat terus berjalan.
Daripada 2,500 tahanan perang yang ditahan di Sandakan, hanya enam orang yang terselamat dalam kejadian tragis ini.
Hari ini, kira-kira selepas 79 tahun kejadian itu berlaku, terdapat satu tugu dibina teguh berdiri di tengah Pekan Kundasang, Ranau, bagi mengenang tahanan yang terkorban.
Dikenali sebagai Tugu peringatan Perang Kundasang dibina pada tahun 1962 iaitu setahun sebelum Sabah bersama menubuhkan Malaysia dengan Tanah Melayu (Semenanjung) dan Sarawak.
Malah, selepas kerja pemulihan dilakukan pada 2005, tugu ini antara tempat menjadi tumpuan orang ramai bukan sahaja pengunjung tempatan tetapi juga dari luar negara yang terkesan dalam tragedi zaman tersebut.
Tinjauan Sinar Harian di tugu tersebut, ramai pengunjung dari luar masih berminat untuk mengetahui sejarah negara sekali gus mendatangkan keinsafan kerana nikmat keamanan yang diterima adalah hasil pengorbanan mereka sebelum ini.
Menurut pengunjung dari Putrajaya, Rosmawati Ahmad, 61, walaupun kejadian itu berlaku di Sabah tetapi ia tetap dirasai oleh seluruh rakyat Malaysia apabila mengenang semula kesukaran zaman ketika itu.
"Berada di tugu peringatan ini saya seperti mengimbau kisah perang walaupun saya belum lahir ketika itu namun ia memberi satu peringatan kepada saya atau generasi muda.
"Bila ada tugu seperti ini kita beri kesedaran kepada anak muda zaman sekarang supaya melihat dan mengetahui asal usul keturunan dulu tentang pengorbanan mereka.
"Kejayaan Malaysia kita hari ini adalah hasil peperangan dan kesukaran mereka dulu, makan pun susah kalau dengar cerita ibu dan ayah saya yang berada di zaman tersebut," katanya ketika berkunjung ke tugu peringatan tersebut.
Ditanya kesan yang dilihat daripada peperangan dulu, seluruh masyarakat sekarang sama ada di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak hidup dalam keadaan bebas dan aman.
"Sekarang rakyat aman dan mewah berbanding dulu, jadi saya rasa generasi baharu patut tahu betapa susah nak membangunkan Malaysia merdeka.
"Jurang yang kita cuma lihat ketika ini cuma dari segi jarak, nak datang dari Semenanjung ke Sabah perlu menaiki kapal terbang tetapi yang lain tetap sama dan perpaduan itu ada.
"Walau ada pelbagai bangsa, tetapi Sabah, Sarawak dan Semenanjung jadilah tertubuhnya Malaysia dan kini disebut Malaysia Madani," katanya.
Sementara itu, penjaga kaunter tiket, Nurfarhana Kuani, 35, berkata, tugu peringatan tersebut menerima sehingga 200 pengunjung setiap hari.
"Tugu ini dibuka setiap hari termasuk pada cuti umum seawal jam 8.30 pagi hingga 6 petang untuk waktu cuti sekolah.
"Untuk warga tempatan caj masuk ke tugu ini bernilai RM5 manakala kanak-kanak bawah 12 tahun RM3. Bagi pengunjung bukan tempatan caj masuk sebanyak RM15 dan kanak-kanak RM5.
"Kami menerima pengunjung sekitar antara 100 hingga 200 orang. Ada juga dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Australia, Jerman dan negara-negara lain untuk melihat tugu peringatan ini," katanya.
caption
1. Rosmawati ketika melawat Tugu Peringatan Perang Kundasang untuk mengenang kembali sejarah sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan.
2. Nurfarhana ketika ditemui di Kundasang.
3. Tugu Peringatan Perang Kundasang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!