Pas semakin terdesak untuk kekal relevan

Pas sedang mencari jalan untuk kekal relevan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan pengundi Melayu selepas Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.
Pas sedang mencari jalan untuk kekal relevan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan pengundi Melayu selepas Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.
A
A
A

PAS sedang mencari jalan untuk kekal relevan dalam kalangan rakyat Malaysia, terutamanya di kalangan pengundi Melayu selepas Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Memahami strategi Pas pada hari ini tidaklah sukar, mereka meratib-ratibkan elemen kaum dan agama bagi meraih sokongan pengundi.

Bandingkan Pas dengan susur-galur hebatnya pada era Dr Burhanuddin al-Helmy, Asri Muda, Yusuf Rawa, Fadzil Noor dan Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat -yang mampu menjalinkan semangat Islam dengan prinsip keadilan dan pragmatisme dalam konteks Malaysia - Pas pada hari ini hanya menyempitkan mesej mereka.

Sejak akhir-akhir ini, Pas seperti kehilangan arah manakala rakan-rakan mereka di Perikatan Nasional (PN) tidak membantu usaha ini.

Pemimpin-pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menjadi rakan terpenting Pas lebih banyak menghabiskan masa mereka di mahkamah berbanding bilik-bilik mesyuarat dan juga semakin disisihkan pimpinan Pas sendiri.

Ketika Pas sedang buntu mencari idea untuk menonjol, muncul kritikan pemimpin Pas bukan malaikat dari perwakilan Perlis ketika Muktamar Tahunan Pas ke-70 dari perwakilan Perlis.

Kritikan tentang kualiti ketua-ketua negeri di bawah adalah kritikan yang berasas dan gagal dikawal dengan baik oleh Pas. Sebut sahaja nama ‘Sanusi’ sudah tentu kita akan menggambarkan seorang pemimpin yang hanya tahu menghina pihak lawan dan gagal dalam mentadbir Kedah.

Pas yang merupakan sebuah parti yang memiliki alahan terhadap kritikan sudah tentu cemas mendengar ada di antara perwakilan mereka yang ‘derhaka’ kepada pimpinan.

Artikel Berkaitan:

Kritikan ini cuba dijawab Ketua Penerangan, Ahmad Fadhli Shaari yang mengeluarkan kenyataan mengatakan Pas adalah parti demokratik dan terbuka dalam menerima sebarang kritikan.

Seandainya benar Pas bersifat terbuka dalam hal ini, kenapa ada larangan dalam kalangan ahli parti sendiri yang berbunyi ‘jangan jadi pembangkang dalam kerajaan sendiri’?

Pas berada dalam tekanan yang tinggi kerana sudah ketandusan idea untuk ‘menjual’ agama pada era Malaysia Madani.

Anwar lantang dalam isu kebencian terhadap Islam ataupun Islamofobia dan jauh kedepan berbanding majoriti besar pimpinan negara-negara Islam dalam mengambil pendirian terhadap keganasan rejim Zionis Israel.

Sudah tentu kita boleh tanya apa yang dilakukan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang dalam memperjuangkan agama dan saudara kita ketika beliau diberi amanah sebagai Duta Khas Timur Tengah bergaji menteri ketika kerajaan sebelum ini? Kebanyakan pemimpin Pas hanya pandai berceramah, tetapi tindakan-tindakan mereka tidak didasari ilmu.

Kita dapat melihat tindakan mereka masih jauh berbeza jika dibandingkan dengan usaha PMX membina jaringan dan meluaskan ruang ilmu, malahan menganjurkan majlis-majlis ilmu yang dikunjungi oleh tokoh-tokoh ilmu dan sarjana intelektual terkenal antarabangsa seperti Prof Dr Jasser Auda, Dr Omar Suleiman, Dr Muhammad al Qaradawi dan ramai lagi.

Golongan ulama dan pelajar-pelajar aliran agama dalam negara juga sering didakati dan diraikan dengan cukup meriah.

Sudah banyak sumber yang menceritakan mengenai kejelasan fikrah Anwar Ibrahim dalam memelihara dan mengangkat martabat agama Islam, tanpa menyempitkan wacana politik dan menanam kebencian yang akhirnya merosakkan imej Islam sendiri.

PMX serius dalam memperjuangkan Islam, namun menghormati hak rakyat bukan Islam sebagaimana diajar oleh agama kita dan termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Barangkali disebabkan wala’ yang keterlaluan, Pas merasakan bahawa partinya sentiasa dijalan yang betul sehingga tidak boleh menerima kritikan atau teguran.

Ini bukanlah demokratik seperti mana yang disebut-sebut oleh mereka. Lebih teruk, terus-menerus ada pimpinan Pas yang memberi hukum yang begitu berat, semata-mata atas alasan politik.

Saya fikir pemimpin-pemimpin Pas ini perlu belajar semula memahami keutamaan atau awlawiyat untuk rakyat.

Pada akhirnya, rakyat akan melihat bagaimana kualiti pemimpin-pemimpin Pas dalam membantu rakyat. Pas tidak akan selamanya mampu berselindung dengan sentimen kaum dan agama, kerana rakyat bijak menilai.

*Nik Nazmi Nik Ahmad adalah Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR)

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!