Lelaki Cina besarkan tiga beradik Islam terima Anugerah Maulidur Rasul

Michael (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 lain di PICC pada Isnin.
Michael (tiga dari kanan) bergambar bersama penerima Anugerah Maulidur Rasul 2024 lain di PICC pada Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tidak penah terlintas untuk menjadi bapa kepada tiga anak lelaki berlainan bangsa dan agama, namun takdir telah mengubah hidup Michael Tong Wai Siong, 55.

Michael atau lebih mesra dengan panggilan 'Uncle Mike' berkata, minatnya yang mendalam terhadap kerja kebajikan dan kerap mengikuti program rumah amal melalui kelab kereta yang disertai menemukan dirinya dengan tiga anak lelaki Melayu itu.

Atas sikap murninya yang ditunjukkan dan membuktikan nilai rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama itu, ahli perniagaan berkenaan diangkat sebagai penerima Anugerah Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Putrajaya (PICC) di sini pada Isnin.

Lebih manis lagi, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menyampaikan anugerah kepadanya yang menjadi satu-satunya penerima berbangsa Cina menerima penghargaan pada hari istimewa bagi masyarakat Islam itu.

"Sukar untuk saya gambarkan perasaan saya ini, terharu dan gembira bercampur baur. Tidak pernah sangka saya dari keluarga yang biasa ini dapat penghargaan sebegini rupa.

"Penghargaan ini memberi inspirasi dan motivasi kepada saya untuk terus melakukan kebajikan dan tolong lebih ramai yang memerlukan," katanya.

Menceritakan semula bagaimana bermula kisahnya mengambil tiga anak angkat berkenaan, ia bermula dengan pertemuan dengan seorang kanak-kanak Melayu yatim piatu lebih 16 tahun lalu di sebuah rumah anak yatim.

Menurutnya, pada mulanya dia hanya mengambil Rafei Ahmad Fauzi tinggal bersamanya yang pertama kali ditemui ketika berusia 12 tahun di rumah anak yatim di Gombak, Selangor.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tidak sanggup melihat dua lagi adik Rafei bersedih kerana terpaksa berpisah, Michael memilih untuk menjaga ketiga-tiga mereka.

Kini, Rafei, 29, dan dua lagi adiknya, Rasyid, 28, dan Abdul Rahman, 24, sudah hampir 16 tahun bersamanya dan kasih sayang terhadap mereka tidak pernah pudar meskipun tiada pertalian darah dan tidak saling mengenali sebelum ini.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang turut terbuka menerima ketiga-tiga anak angkat saya ini.

"Malah, keluarga juga menasihatkan saya menjaga mereka dengan baik. Sebenarnya ini rahsia yang saya simpan sejak 16 tahun lalu dan tidak ramai tahu," katanya.

Turut menerima anugerah sama, lima tokoh lain iaitu Yang Dipertua Persatuan Persaudaraan Muslimah Malaysia, Datin Aminah Zakaria; Ahli Majlis Tertinggi Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Ab Jamal Sakaran dan Pakar Mikrobiologi, Datin Prof Dr Khatijah Mohamad Yusoff.

Turut menerima anugerah berkenaan, bekas Felo Kehormat Institut Kefahaman Islam Malaysia, Profesor Emeritus Dr Shaharir Mohamad Zain dan Presiden Pertubuhan Advokasi dan Kesejahteraan Pekak Malaysia, Sariah Ibrahim.

Sementara itu, Mufti Sarawak, Datuk Kipli Yassin dinobatkan sebagai penerima Anugerah Perdana Maulidur Rasul 2024.

Pemilihan anak jati Kampung Selalang, Sarikei itu adalah berdasarkan sumbangan beliau dalam menyampaikan dakwah silang budaya kepada masyarakat pelbagai etnik.

Pengiktirafan diberikan kepada Kipli yang mula berkhidmat sebagai Mufti Sarawak pada 1 Mac 2010 kerana telah memartabatkan nilai marhabah dan perpaduan dalam kalangan masyarakat Madani.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!