PRK DUN Mahkota: 13 permit kempen diluluskan
KLUANG – Polis meluluskan 13 permit kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, setakat Isnin.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, permit yang diluluskan itu untuk dua kempen bagi Barisan Nasional (BN) dan 11 Perikatan Nasional (PN).
Selain itu, pihaknya turut menerima satu laporan polis dibuat orang awam, berhubung penafian tuduhan mengenai satu mesej diterimanya.
"Kita menerima satu laporan polis semalam (Ahad) daripada seorang individu yang menafikan tuduhan diterimanya menerusia satu mesej di telefon bimbit.
"Kes diklasifikasikan sebagai NOD (No Offense Disclosed)," katanya.
PRK DUN Mahkota diadakan selepas penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia, 2 Ogos lalu.
PRK kali ini menyaksikan pertembungan antara BN dan PN yang masing-masing mempertaruhkan calon Syed Hussien Syed Abdullah dan Mohamad Haizan Jaafar atau dikenal sebagai Coach Haizan.
Hari pengundian akan berlangsung 28 September ini, manakala 24 September sebagai hari undi awal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!