3 terbunuh dalam insiden bot nelayan terbalik di Korea Selatan
SEOUL - Tiga pelaut yang berada di atas bot nelayan yang terbalik di perairan pantai barat Korea Selatan meninggal dunia selepas dibawa ke hospital manakala lima yang lain berada dalam keadaan stabil, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita Yonhap pada Isnin, merujuk pengawal pantai.
Kapal nelayan seberat 35 tan itu terbalik di bandar pelabuhan barat Gunsan kira-kira jam 7:36 pagi waktu tempatan (2236 GMT Ahad).
Kesemua lapan pelaut di atas kapal malang itu telah diselamatkan, tetapi tiga daripada mereka, termasuk seorang kapten, meninggal dunia selepas dibawa ke hospital akibat serangan jantung.
Lima pelaut, termasuk tiga warga Vietnam dan dua rakyat Indonesia, dilaporkan tidak mengalami masalah kesihatan yang serius.
Pengawal pantai mengerahkan helikopter dan kapal peronda ke tempat kejadian untuk operasi menyelamat.
Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol segera mengarahkan menteri perikanan dan laut serta ketua pengawal pantai untuk menyelamatkan mereka dengan menggerakkan semua kakitangan dan peralatan yang ada selepas menerima laporan mengenai kemalangan itu, menurut pejabat presiden. - Bernama/Xinhua
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!