Banyak lagi penderaan dialami kanak-kanak GISBH - KPN

Tangkap layar video memaparkan seorang kanak-kanak sedang mengadu kesakitan ketika diperlakukan dengan kasar oleh seorang individu.
Tangkap layar video memaparkan seorang kanak-kanak sedang mengadu kesakitan ketika diperlakukan dengan kasar oleh seorang individu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mendedahkan pelbagai unsur penderaan dialami kanak-kanak serta remaja yang diselamatkan susulan serbuan Op Global melibatkan 20 rumah amal sekitar Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan lanjut akan dijalankan susulan video tular memaparkan seorang kanak-kanak dipercayai penghuni salah sebuah rumah amal dipercayai didera.

"Banyak lagi penderaan yang kita percaya berlaku melibatkan kanak-kanak ini, polis akan buat laporan berkaitan bagi memulakan siasatan dengan segera.

"Kita akan siasat kanak-kanak yang menjadi mangsa ini dan saya minta pegawai jawatankuasa yang ditubuhkan berkaitan perkara ini untuk jalankan siasatan selanjutnya," katanya pada Isnin.

Terdahulu, tular satu video di media sosial memaparkan seorang kanak-kanak sedang mengadu kesakitan ketika diperlakukan dengan kasar oleh seorang individu.

Video berkenaan didakwa berlaku melibatkan salah seorang penghuni rumah amal yang terlibat dalam Op Global baru-baru ini.

Pada Rabu, media melaporkan polis telah menyelamatkan mangsa terdiri 201 kanak-kanak lelaki dan 201 perempuan berusia setahun hingga 17 tahun disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan di premis dipercayai milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Bagaimanapun, 10 daripada 402 kanak-kanak terbabit didapati terdiri daripada kanak-kanak autistik, Orang Kurang Upaya (OKU) dan sakit telah diserahkan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Artikel Berkaitan:

Razarudin dilaporkan berkata, dalam operasi Ops Global yang dijalankan jam 6 hingga 11 pagi itu, pihaknya turut menahan 171 individu terdiri tenaga pengajar, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian.

Dalam perkembangan pada Jumaat, beliau memaklumkan, 13 daripada kanak-kanak terbabit disyaki telah diliwat berdasarkan saringan perubatan yang dilakukan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!