Fadillah dedah draf sebenar MoU peruntukan pembangkang

Fadillah
Fadillah
A
A
A

SHAH ALAM - Sehari selepas pembangkang sebulat suara menolak memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof tampil mendedahkan dua draf sebenar dokumen yang masih menjadi kontroversi itu.

Menurutnya, tindakan ini diambil bagi membolehkan rakyat menilai sendiri bahawa kesemua dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengenai perjanjian terbabit adalah tidak berasas sama sekali.

"Memandangkan pihak pembangkang lebih gemar membuat kenyataan melalui media berhubung MoU berkenaan, maka dengan ini saya kemukakan dua draf perjanjian berkenaan kepada pihak media untuk membuktikan ketelusan Kerajaan Madani.

"Niat Kerajaan Madani ini adalah untuk mewujudkan suasana aman harmoni dan supaya semua ahli Parlimen lebih memfokuskan kepada usaha pemulihan ekonomi dan dapat memainkan peranan dengan lebih konstruktif sebagai semak dan imbang.

"Ini penting supaya kita dapat menumpukan sepenuh tenaga kita dalam memulihkan ekonomi negara dan mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat, demi kesejahteraan semua dan kemakmuran Malaysia," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Media pada Ahad melaporkan pembangkang sebulat suara menolak MoU atas empat sebab utama yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, di mana beberapa syarat dikenakan dalam dokumen dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera.

Draf sebenar MoU peruntukan ahli Parlimen pembangkang.
Draf sebenar MoU peruntukan ahli Parlimen pembangkang.

Hamzah berkata, MoU itu turut bertentangan dengan nilai budaya, moral dan agama kerana draf MoU itu mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral agama serta tempatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kandungan dokumen yang mengandungi enam inti pati utama itu jelas membuktikan komitmen kerajaan terhadap MoU tersebut.

Berdasarkan dokumen yang didedahkan itu, enam inti pati tersebut antaranya tempoh kuat kuasa dari tarikh MoU dan terpakai sehingga pembubaran Parlimen ke-15 atau pada 19 Disember 2027.

Turut terkandung dalam inti pati tersebut ialah obligasi PN yang menyentuh peranan dan fungsi ahli Parlimen pembangkang sebagai komponen penting dan aku janji sebagai wakil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.

"Selanjutnya, turut terdapat dalam draf tersebut ialah obligasi Kerajaan Persekutuan yang mana kerajaan perlu mengakui bahawa ahli PN mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada negara, Perlembagaan Persekutuan dan Institusi Diraja.

"Inti pati seterusnya melibatkan ketelusan dan tiada kerahsiaan yang mana MoU ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan," katanya.

Turut terkandung dalam dokumen itu ialah mengenai aspek pemakaian undang-undang yang mana dokumen ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia.

Inti pati terakhir ialah MoU ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut dokumen ini.


Berikut adalah draf sebenar dokumen memorandum persefahaman (MoU) berkaitan penyaluran peruntukan kepada ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Mukadimah

A. Bahawasanya akibat tiada satu parti yang berjaya memenangi jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan secara sendiri pada Pilihanraya Umum ke-15 yang lepas, Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan) bersama-sama dengan Parti Bangsa Malaysia (PBM), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dan dua Ahli Parlimen Bebas yang secara kolektifnya mempunyai 148 kerusi Parlimen, mencukupi untuk membentuk Kerajaan Persekutuan dan telah melebihi dua per tiga majoriti keahlian Dewan Rakyat.

B.Dan bahawasanya Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong dengan kebijaksanaannya telah menitahkan Hasrat Tuanku supaya satu Kerajaan Perpaduan dibentuk demi menjamin kestabilan politik bagi membolehkan urusan Kerajaan Persekutuan dapat dijalankan secara lancar dan cekap (Titah Yang DiPertuan Agong). Parti PH, BN, GPS, GRS, dan Warisan telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman bertarikh 16hb Disember 2022 untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan bersama dengan Parti PBM, KDM dan dua orang Ahli Parlimen Bebas yang lain (selepas ini dirujuk sebagai 'MOU 2022 tersebut').

C. Dan bahawasanya parti-parti yang menjadi pihak dalam MOU 2022 tersebut telah bersetuju untuk membentuk sebuah Kerajaan Perpaduan untuk tempoh selama lima tahun penggal bagi Majlis Parlimen ke-15 Dewan Rakyat demi kemaslahatan bersama Malaysia secara amnya, untuk membina semula negara selepas krisis ekonomi dan kesihatan awam akibat pandemik Covid-19, dengan memulihkan kestbilan politik serta melaksanakan agenda reformasi, seterusnya membina negara Malaysia yang lebih makmur, inklusif, dan sejahtera,

D. Dan bahawasanya Dewan Rakyat melalui Usul Undi Percaya bertarikh 19 Disember 2022 telah mengabsahkan kedudukan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia untuk mengemudi Kerajaan Perpaduan memandangkan beliau telah memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

E. Dan bahawasanya Ahli Parlimen Tersebut merupakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang mana Bersatu bersama-sama Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) telah membentuk satu gabungan politik yang dinamakan sebagai Perikatan Nasional (PN) dan membentuk sebuah gabungan pembangkang di Dewan Rakyat.

F. Dan bahawasanya Kerajaan Persekutuan dan ahli Parlimen tersebut berhasrat untuk menambahbaik kestabilan politik negara bagi mengharungi sebarang cabaran dan krisis yang dihadapi negara, dan dengan ini menggariskan komitmen-komitmen seperti berikut:

(1) untuk menangani masalah peningkatan polarisasi bangsa dan agama serta perpecahan sosial; dan

(2) untuk menambah baik fungsi dan peranan ahli Parlimen tersebut dan pengiktirafan status beliau sebagai Ahli Parlimen Pembangkang yang berwibawa dengan memperincikan deklarasi, komitmen, dan akujanji yang termaktub dalam Memorandum Persefahaman ini.

Maka oleh yang demikian adalah dipersetujui oleh pihak-pihak seperti berikut:-

1. Tempoh kuat kuasa memorandum persefahaman

1.1 Memorandum ini hendaklah berkuat kuasa dari tarikh memorandum ini, dan hendaklah terpakai sehingga pembubaran Majlis Parlimen ke-15, atau pada 19 Disember 2027 (mana yang terdahulu).

2. Obligasi ahli Parlimen

2.1 Ahli Parlimen Tersebut mengakui peranan dan fungsinya sebagai Ahli Parlimen Pembangkang merupakan satu komponen yang penting dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. Ahli Parlimen tersebut akujanji dan mengakui bahawa beliau akan berkelakuan seperti berikut:-

Menambah baik kedudukan dan peranan ahli Parlimen pembangkang yang berwibawa

a) Sebagai sebahagian daripada pihak pembangkang, Ahli Parlimen Tersebut perlu memastikan Kerajaan Persekutuan bertanggungjawab terhadap Parlimen mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang, dan Peraturan Mesyuarat Parlimen serta konvensyen Parlimen.

b) Perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina kepada Kerajaan Persekutuan bagi memastikan ketelusan sebarang keputusan yang melibatkan kepentingan awam, serta kelancaran dalam pentadbiran awam, sekali gus mengelakkan sebarang salahguna kuasa dan ketidaktelusan.

c) Perlu menyediakan satu alternatif politik atau cadangan balas yang kredibel serta menyediakan pilihan dasar alternatif berbanding dengan cadangan dasar yang dikemukakan oleh pihak Kerajaan Persekutuan dan majoriti Ahli Dewan Rakyat. Ahli Parlimen Tersebut sebagai ahli Parlimen Pembangkang tidak boleh membuat sebarang bangkangan atau halangan yang sia-sia atau mengganggu tindakan Kerajaan Persekutuan atau Dewan Rakyat, sebaliknya bersama-sama berusaha untuk menambahbaik sebarang cadangan dasar demi kepentingan umum Negara.

d) Ahli Parlimen Tersebut perlu menahan diri daripada menyemai kebencian, diskriminasi, atau keganasan sebagai suatu bentuk ekspresi politik atau perbezaan pendapat, tetapi harus bertindak dalam semangat toleransi serta tindakan bersama demi kepentingan Negara.

e) Ahli Parlimen Tersebut akujanji untuk mengemukakan Pengisytiharan Harta mengikut format yang dilampirkan dalam Jadual A dalam tempoh Empat Belas (14) hari dari tarikh Memorandum ini.

f) Ahli Parlimen tersebut mengakui bahawa seorang ahli Parlimen adalah satu jawatan awam yang menjalankan amanah rakyat dan disebabkan itu, ahli Parlimen Ttersebut perlu berkelakuan mengikut tujuh (7) Prinsip Kehidupan Awam yang dilampirkan dalam Jadual B Memorandum ini.

Tuturan kebencian dan hasutan kebencian mengenai isu bangsa, agama dan raja-raja

g) Ahli Parlimen Tersebut mengakui dan mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berasaskan prinsip maruah dan kesaksamaan semua manusia dan kesemua rakyat Malaysia mempunyai peranan untuk mempromosikan dan menggalakkan penghormataan dan pematuhan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi untuk semua tanpa mengira bangsa, agama, bahasa, budaya, dan agama.

h) Ahli Parlimen Tersebut selanjutnya mengakui dan mengisytiharkan bahawa Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia adalah berdasarkan prinsip bahawa semua manusia dilahirkan bebas dan saksama, bermaruah, dan mempunyai hak asasi dan kebebasan tanpa sebarang perbezaan dari segi bangsa, warna kulit, etnik, atau agama, dan mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan yang saksama daripada sebarang bentuk diskriminasi atau hasutan terhadap sebarang bentuk diskriminasi.

i) Ahli Parlimen Tersebut juga mengakui dan bimbang dengan ucapan-ucapan berbentuk kebencian, diskriminasi kaum, agama, dan sebarang bentuk hasutan terhadap Institusi Diraja, termasuk Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong, serta Raja-Raja Melayu. Ahli Parlimen Tersebut juga mengutuk segala propaganda, maklumat palsu, atau sebarang idea yang bertujuan untuk menghasut dan menimbulkan ketegangan kaum, agama, dan/atau budaya serta melakukan sebarang diskriminasi dalam apa-apa bentuk, atau menimbulkan sebarang kebencian terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu, atau sebarang bentuk penderhakaan terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu.

j) Ahli Parlimen Tersebut juga mengakui dan menyatakan komitmen bahawa beliau akan menahan diri daripada membuat sebarang kenyataan dan/atau ucapan dan/atau perbuatan sama ada secara lisan atau bukan lisan, yang bersifat kebencian, atau menggunakan sebarang bentuk bahasa yang merendahkan atau mendiskriminasikan mana-mana pihak atau kumpulan sama ada atas dasar agama, kaum, etnik, warna kulit, asal-usul, jantina, kewarganegaraan, atau apa-apa faktor identiti yang lain, atau sebarang bentuk komunikasi yang mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan sebarang diskriminasi, kebencian, atau keganasan terhadap mana-mana pihak, atau melakukan sebarang bentuk penghinaan, penderhakaan, atau kecenderungan untuk menghina dan menderhaka terhadap Institusi Diraja dan Raja-Raja Melayu.

3. Obligasi Kerajaan Persekutuan

3.1 Kerajaan Persekutuan mengakui bahawa Ahli Parlimen pembangkang mempunyai peranan yang besar sebagai pembangkang dengan menunjukkan kesetiaan kepada Negara, Perlembagaan Persekutuan, dan institusi diraja, serta bertindak untuk semak dan imbang secara sah dan bertanggungjawab serta memastikan akauntabiliti dan ketelusan Kerajaan Persekutuan di dalam sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia. Tertakluk kepada penyerahan Pengisytiharan Harta serta selepas menandatangani Tujuh Prinsip Kehidupan Awam (Seven Principles of Public Life) seperti di Lampiran B, Ahli Parlimen Tersebut, atas dasar prinsip kesaksamaan, akan diberi layanan yang sama seperti Ahli Parlimen yang menyokong Kerajaan Persekutan berkenaan dengan perkara-perkara berikut:-

a) Memelihara dan melindungi hak dan keistimewaan Ahli Parlimen Tersebut untuk menjalankan tugasnya di Dewan Rakyat seperti tempoh masa berucap, akses kepada jawatankuasa pilihan Parlimen, hak untuk meminda, hak untuk membentangkan rang undang-undang dan usul;

b) Diberikan akses kepada sumber rujukan, sumber penadbiran, dan sumber kewangan, seperti ruang pejabat, pembantu parlimen, dan elaun; c) Diberikan peruntukan Dana Pembangunan Kawasan Parlimen (Constituency Development Fund) mengikut peraturan, tatacara dan tatakelola penggunaan dana tersebut. Jumlah peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen Tersebut adalah seperti yang dinyatakan dalam Jadual C.

4. Ketelusan dan tiada kerahsiaan

4.1 Pihak-pihak dengan ini bersetuju untuk mendedahkan sepenuhnya kandungan dan intipati Memorandum ini kepada umum dan menjadikan Memorandum ini tidak tertakluk kepada mana-mana klausa kerahsiaan.

5. Pemakaian undang-undang

5.1 Memorandum Persefahaman ini hendaklah dikawal dan ditafsirkan mengikut undang-undang Malaysia

6. Pembatalan memorandum

6.1 Sekiranya mana-mana pihak gagal untuk menjalankan obligasinya sebagaimana yang dinyatakan dalam Perenggan 3 dan 4 Memorandum ini, Memorandum Persefahaman ini secara automatiknya akan terbatal dan pihak yang lagi satu tidak mempunyai sebarang obligasi lanjut yang perlu dilaksanakan menurut Memorandum ini.

Jadual B

Tujuh (7) Prinsip Kehidupan Awam (The Seven Principles of Public Life)

1. Tidak mementingkan diri: Pemegang jawatan awam seharusnya bertindak semata-mata demi kepentingan awam.

2. Integriti: Pemegang jawatan awam harus mengelakkan diri daripada mempunyai sebarang kewajipan terhadap mana-mana individu ataupun organisasi yang cuba untuk mempengaruhinya secara tidak wajar. Pemegang jawatan awam harus tidak bertindak atau membuat sebarang keputusan demi menerima faedah kewangan dan/atau sebarang faedah lain untuk diri sendiri, keluarga, atau rakan. Pemegang jawatan awam harus mendedahkan sebarang hubungan dan/atau sebarang kepentingan yang melibatkan dirinya.

3. Objektiviti: Pemegang jawatan awam harus bertindak dan membuat sebarang keputusan secara saksama, adil, dan berdasarkan merit, menggunakan segala bukti yang terbaik tanpa sebarang diskriminasi.

4. Akauntabiliti: Pemegang jawatan awam harus bertanggungjawab terhadap rakyat berkenaan dengan keputusan dan tindakan beliau, dan harus bersedia untuk meletakkan diri dalam pemantauan dan penelitian yang rapi.

5. Keterbukaan: Pemegang jawatan awam harus bertindak dan membuat sebarang keputusan secara terbuka dan telus. Sebarang maklumat tidak seharusnya dirahsiakan kepada umum melainkan terdapat undang-undang yang jelas menghalang untuk maklumat tersebut didedahkan kepada umum.

6. Kejujuran: Pemegang jawatan awam harus bersikap jujur.

7. Kepimpinan: Pemegang jawatan awam harus menunjukkan prinsip-prinsip ini dalam kehidupan seharian serta melayani individu lain dengan hormat. Pemegang jawatan awam 10 juga harus sentiasa mempromosikan dan menyokong prinsip-prinsip tersebut serta menentang sikap-sikap buruk

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!