Terserah pucuk pimpinan runding semula, longgarkan syarat MoU - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul dan Syed Hussein ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Melayu sempena PRK DUN Mahkota, pada Isnin.
Tengku Zafrul dan Syed Hussein ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Melayu sempena PRK DUN Mahkota, pada Isnin.
A
A
A

KLUANG - Sebarang bentuk rundingan semula memorandum persefahaman (MoU) mengenai peruntukan pembangkang hanya akan diputuskan oleh pucuk pimpinan.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, beliau tidak terlibat dengan proses berkenaan.

Tengku Zafrul menunggang motosikal ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Melayu pada Isnin.
Tengku Zafrul menunggang motosikal ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Melayu pada Isnin.

"Saya bukan dalam (Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan) kena tanya (Timbalan Perdana Menteri) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya tak terlibat dalam ini (membuat keputusan). Terserah kepada pucuk pimpinan," katanya ditemui ketika Program Ziarah Kasih di Kampung Melayu sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ditanya sekiranya kerajaan mempunyai hasrat melonggarkan syarat dalam MoU yang tidak dipersetujui pembangkang.

Pada Selasa, pembangkang sebulat suara menolak MoU yang dikemukakan kerajaan.

Penolakan itu dibuat atas empat sebab asas yang dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu serta bumiputera.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Ahmad Zahid dalam kenyataan balas beliau berkata, kerajaan terbuka sekiranya perundingan mengenai MoU berkenaan mahu dilakukan semula.

Bagaimanapun beliau berkata, ia tidak akan tersasar daripada syarat asal seperti ditetapkan dalam draf MoU dikemukakan kerajaan kepada Perikatan Nasional (PN), sebelum ini.

Sementara itu, mengulas mengenai potensi kemenangan calon Barisan Nasional (BN), PRK DUN Mahkota, Tengku Zafrul berkata, pengundi kawasan berkenaan sememangnya memerlukan wakil yang mempunyai kapasiti untuk membantu rakyat.

Harapan berkenaan katanya, bertepatan dengan pilihan BN yang mempertaruhkan Syed Hussein Syed Abdullah.

"Calon BN seorang yang faham dengan isu di sini dan bukan orang asing. Tambahan pula dia masih muda. Jadi ini calon terbaik untuk menang," katanya.

PRK DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada BN dan PN.

BN mempertaruhkan Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61.

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini.

Pada pilihan raya negeri 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon PH, PN dan Warisan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!