Terengganu serah siasatan isu GISBH kepada pihak berkuasa

Muhammad Khalil
Muhammad Khalil
A
A
A

KUALA NERUS - Kerajaan negeri Terengganu memandang serius isu berkaitan GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak berkuasa.

Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pemantauan rapi dan tindakan sewajarnya berhubung isu tersebut diambil berlandaskan undang-undang.

"Kita melihat isu tersebut sudah di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) jadi kita serah kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan.

"Saya rasa PDRM akan turut bersama-sama pihak jabatan agama negeri dalam kes ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak di sini pada Isnin.

Sebelum ini, Polis Terengganu mengesan sekurang-kurangnya dua hingga tiga premis milik syarikat berkenaan yang diusahakan di negeri ini.

Bagaimanapun, Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, setakat ini tiada laporan melibatkan pelanggaran undang-undang dikesan membabitkan rangkaian tersebut.

Baru-baru ini media melaporkan, polis berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi di 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan menerusi gerakan Op Global.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak dan remaja lelaki serta 201 perempuan.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!