Saringan kesihatan di pintu masuk LTAL diteruskan

Gambar kecil: Dr Noor Hisham
Gambar kecil: Dr Noor Hisham
A
A
A

KUALA LUMPUR - Proses saringan kesihatan akan tetap diteruskan di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) meskipun kesemua perkhidmatan penerbangan terus komersial antara negara China dan Pulau Langkawi digantung sementara waktu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, saringan diteruskan bagi mana-mana penumpang dan anak kapal dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).

Katanya, beliau berkesempatan melihat sendiri langkah kesiapsiagaan Kementerian Kesihatan dalam menangani jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) di dua PMA iaitu LTAL dan Pelabuhan Jeti Kuah, Pulau Langkawi.

“Dalam tempoh 25 hingga 31 Januari, sejumlah 6,539 penumpang dan anak kapal daripada pelbagai destinasi antarabangsa telah tiba melalui PMA LTAL, manakala 3,082 melalui PMA Jeti Kuah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain dua PMA itu terdapat empat lagi PMA di Kedah iaitu Bukit Kayu Hitam, Pelabuhan Dermaga Tanjung Lembung, Pelabuhan Telaga Harbour Park dan Kota Putra di Durian Burung.

Dr Noor Hisham berkata, sejak awal Januari tahun ini, kesemua PMA di negara ini telah memperkukuhkan aktiviti saringan kesihatan dan kerjasama baik antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan agensi-agensi berkaitan juga membolehkan pengesanan pantas pengembara yang mempunyai gejala.

Jelas beliau, sebarang kes yang disyaki koronavirus akan dinotifikasi kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara (CPRC) Kebangsaan dan dirujuk kepada hospital kerajaan yang dikenal pasti, manakala bagi yang tidak bergejala akan dibekalkan dengan ‘Health Alert Card’ sebelum meneruskan perjalanan.

Kenyataan itu memaklumkan selain saringan kesihatan, aktiviti disinfeksi di PMA bagi mencegah dan mengawal penularan jangkitan juga dilaksanakan dan dipantau oleh pasukan kesihatan.

Artikel Berkaitan:

“Terima kasih diucapkan kepada semua petugas barisan hadapan termasuk staf pembersihan yang bersiap sedia melaksanakan tugas walaupun seringkali ia tidak jelas di mata masyarakat umum,” tambahnya.

Dr Noor Hisham turut meminta semua pihak untuk memberikan kerjasama kepada pihak kesihatan dan agensi-agensi terlibat demi memastikan kesihatan awam dan keselamatan negara terpelihara. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!