MAHA 2024: Traktor elektrik jadi tarikan di Laman Mekanisasi

Mohd Fauzi (tengah) yang diiringi Pengarah Bahagian Kejuruteraan LPP, Zaipudin Mohamad (kiri) cuba mengendalikan traktor elektrik yang dipamerkan di Laman Mekanisasi sempena MAHA 2024 pada Isnin.
Mohd Fauzi (tengah) yang diiringi Pengarah Bahagian Kejuruteraan LPP, Zaipudin Mohamad (kiri) cuba mengendalikan traktor elektrik yang dipamerkan di Laman Mekanisasi sempena MAHA 2024 pada Isnin.
A
A
A

SERDANG - Lebih 61 buah jentera pertanian terutama traktor elektrik menjadi tarikan di Laman Mekanisasi sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024.

Apa yang istimewa, traktor elektrik itu adalah yang pertama di Malaysia dan buat julung kali dipamerkan di Laman Mekanisasi kelolaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) pada MAHA kali ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LPP, Mohd Fauzi Badron berkata, traktor elektrik yang dibawakan khas berkenaan membolehkan pengunjung melihat dari dekat teknologi pertanian terkini.

Laman Mekanisasi merekodkan purata kehadiran pengunjung 10,000 orang setiap hari setakat ini.
Laman Mekanisasi merekodkan purata kehadiran pengunjung 10,000 orang setiap hari setakat ini.

"Lazimnya kita dengar ada kereta dan bas elektrik, tapi di Laman Mekanisasi ini ada traktor elektrik.

"Traktor elektrik ini mesra alam sekitar kerana tiada pelepasan karbon dan bunyinya juga hampir senyap berbanding traktor biasa yang menggunakan diesel," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di Laman Mekanisasi, Zon 6: Taman Sambutan, Veterinar dan Taman Kejuruteraan Agro sempena MAHA 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di sini pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Kanak-kanak teruja menaiki pelbagai jentera yang dipamerkan di Laman Mekanisasi.
Kanak-kanak teruja menaiki pelbagai jentera yang dipamerkan di Laman Mekanisasi.

MAHA 2024 berlangsung selama 12 hari bermula 11 hingga 22 September bertemakan ‘Menuai Harapan Membina Masa Hadapan’.

Mohd Fauzi berkata, pameran di Laman Mekanisasi tersebut bertemakan 'Mekanisasi Untuk Semua' yang bermakna semua bentuk mekanisasi, jentera dan peralatan kecilnya mampu dimiliki oleh orang ramai khususnya mereka yang terlibat dengan sektor pertanian.

Katanya, pameran tersebut dipecahkan kepada empat kluster iaitu jentera dan peralatan pertanian, inovasi, teknologi dan pemprosesan.

Ibu bapa membantu anak-anak mengendalikan 'mini excavator'.
Ibu bapa membantu anak-anak mengendalikan 'mini excavator'.

"Jadi traktor elektrik tadi dipamerkan di bawah kluster teknologi yang mengetengahkan teknologi terbaharu termasuk seperti dron dan sistem pertanian pintar.

"Kluster jentera pula menempatkan jentera-jentera daripada pelbagai jabatan, agensi dan syarikat swasta yang menyertai pameran di laman ini.

"Di kluster inovasi, boleh dilihat berbagai-bagai jentera mekanisasi dan peralatan pertanian yang diolah serta diubah suai contohnya gerabak motosikal," ujarnya.

Pengunjung Laman Mekanisasi berpeluang memenangi cabutan bertuah utama berupa sebuah ATV.
Pengunjung Laman Mekanisasi berpeluang memenangi cabutan bertuah utama berupa sebuah ATV.

Menurutnya, kluster pemprosesan mempamerkan mesin-mesin dan jentera untuk memproses tanaman padi, bawang serta jagung bijian.

Selain itu, Mohd Fauzi memaklumkan, pihaknya turut menawarkan pelbagai aktiviti menarik lain kepada pelbagai lapisan masyarakat termasuk memberikan pengalaman mengendalikan 'mini excavator' kepada kanak-kanak di mana mereka boleh mencubanya secara percuma.

Katanya, usaha itu bukan sahaja untuk menimbulkan minat dalam kalangan generasi muda terhadap bidang pertanian malahan untuk menyampaikan mesej bahawa semua orang boleh memiliki jentera pertanian kerana ia 'harga Madani' atau murah.

"Pengunjung yang datang ini mungkin dapat diskaun istimewa daripada pempamer-pempamer. LPP sebelum ini juga menawarkan satu skim pemilikan jentera kecil pertanian kepada ahli-ahli kami.

"Di bawah skim ini untuk pembelian jentera, kerajaan memberikan geran sebanyak 70 peratus dan ahli hanya perlu mengeluarkan belanja 30 peratus sahaja," kata beliau.

Pertandingan mewarna memeriahkan lagi aktiviti di Laman Mekanisasi.
Pertandingan mewarna memeriahkan lagi aktiviti di Laman Mekanisasi.

Pengunjung berpeluang menang ATV

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, orang ramai yang mengunjungi Laman Mekanisasi sepanjang berlangsungnya MAHA 2024 berpeluang memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kenderaan lasak pelbagai bentuk muka bumi (ATV) bernilai kira-kira RM5,000.

Ujarnya, syarat penyertaannya cukup mudah kerana pelawat hanya perlu mendaftar di Laman Mekanisasi dan mengikuti arahan yang ditetapkan.

"Kita juga turut pemerkan sistem monorack seperti sistem monorel atau keretapi yang mengelilingi kawasan tanaman sayur sekali gus memudahkan kerja-kerja pengumpulan hasil," katanya.

REAKSI

"Saya kagum lihat evolusi jentera pertanian yang dipamer di Laman Mekanisasi ini. Traktor sekarang ada yang pakai teknologi rantai, berbanding dulu pakai tayar getah." - Anggota bomba, Mohd Zamri Hashim, 49, dari Bangi.

"Banyak jentera pertanian yang saya tak pernah tengok ada di sini. Anak-anak pun sangat teruja lihat jentera dari dekat dan dapat cuba sendiri jentera mini yang disediakan." - Suri rumah, Azila Abdul Rani, 43, dari Klang.

INFO

-Pameran Kluster Jentera Laman Mekanisasi menghimpunkan sebanyak 41 pempamer terdiri daripada 14 jabatan dan agensi serta 27 syarikat swasta.

-Laman Mekanisasi rekodkan purata pengunjung sehari seramai 10,000 orang.

-Persembahan Buskers di Laman Mekanisasi diadakan setiap hari.

-Turut diadakan pelbagai pertandingan menarik untuk kanak-kanak seperti pertandingan mewarna dan 'jigsaw puzzle' (susun suai gambar).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!