Siasat kematian doktor Hospital Lahad Datu - MMA
SHAH ALAM - Pihak polis digesa supaya melakukan siasatan terperinci berhubung kematian seorang doktor di Hospital Lahad Datu, Sabah pada 29 Ogos lalu yang didakwa menjadi mangsa buli dan menghadapi tekanan kerja melampau.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Kalwinder Singh Khaira berkata, pihaknya berdukacita dengan berita pemergian pakar patologi kimia, Dr Tay Tien Yaa itu dan memohon agar Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri untuk mempercepatkan proses siasatan.
Menurutnya, ia kerana insiden tragis sedemikian boleh menimbulkan kebimbangan yang serius mengenai tahap kesihatan mental doktor dalam sistem penjagaan kesihatan awam di negara ini.
"Kami ingin mengucapkan takziah kepada keluarga, sahabat dan rakan sekerjanya yang berada dalam waktu sukar ini.
"Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan beri ruang kepada pihak berkaitan untuk menyiasat perkara tersebut.
"MMA amat hargai jika ada respons yang pantas dan kami tetap teguh dengan komitmen untuk meningkatkan kesihatan mental, kebajikan serta memastikan persekitaran kerja sentiasa selamat," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sebelum ini, media melaporkan Dr Tien Yaa yang baru sahaja melaporkan diri di Hospital Lahad Datu pada Februari lepas ditemui meninggal dunia di rumah sewanya.
Adik mangsa, YS Tay mendakwa kakaknya yang pernah menuntut di Volgograd State Medical University, Rusia telah ditindas oleh ketua jabatan hospital selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas hingga terpaksa menanggung beban kerja melampau.
Menerusi perkongsian di Facebook, adik mangsa turut mendakwa, kakaknya yang sebelum ini berkhidmat sebagai ketua unit terpaksa berurusan dengan pemeriksaan instrumen, menghadiri mesyuarat, menyediakan laporan, menguruskan sumber manusia dan merancang kewangan jabatan.
Susulan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memaklumkan, pihaknya tidak akan bertoleransi dengan sebarang perbuatan buli terhadap kakitangan.
Jelas beliau, perbuatan buli tidak pernah menjadi budaya KKM, malah perkara terbabit kekal menjadi dasar utama kementerian berkenaan.
Pekerja penjagaan kesihatan yang mengalami cabaran sewaktu menjalankan tugas digalakkan menghubungi MMA di platform Helpdoc di helpdoc@mma.org.my untuk khidmat sokongan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!