Feri bawa 567 penumpang ke Langkawi terkandas
KUALA PERLIS - Sebuah feri membawa 567 penumpang dari Kuala Perlis ke Langkawi terkandas dipercayai tersangkut pada beting pasir kira-kira 0.5 batu nautika daripada Terminal Feri Kuala Perlis, di sini, pada Isnin.
Pengurus Besar Konsortium Ferrylines Ventures Sdn Bhd, Kapten Dr Baharin Baharom berkata, kejadian terbabit berlaku disebabkan hujan lebat dan angin kencang menolak feri dari laluan asal ke kawasan beting pasir.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, kesemua penumpang feri yang berlepas jam 2.30 petang dari terminal terbabit didapati selamat.
"Ketika ini, kerja untuk memindahkan mangsa sedang diusahakan, bagaimanapun kami menghadapi kesukaran dan kami dibantu oleh Maritim Malaysia untuk lakukan pemantauan.
“Kerja pemindahan mangsa agak sukar kerana jumlah yang ramai bagaimanapun kita masih menunggu air laut pasang," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Beliau memaklumkan, aktiviti pelayaran ke Langkawi dijangka diteruskan pada jam 8 malam.
Dalam perkembangan sama, Dr Baharin berkata, tiga trip perjalanan feri dari Kuala Kedah menuju ke Langkawi terpaksa berpatah balik disebabkan ribut.
Kata beliau, antara trip terkesan termasuklah feri membawa 120 penumpang pada 1.30 tengah hari, feri membawa 149 penumpang pada jam 2 petang dan feri membawa 410 penumpang pada jam 2.30 petang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!