Machan FC tarik diri baki saingan Liga A1 Semi-Pro

Kesebelasan utama Machan FC. Foto Machan Football Club
Kesebelasan utama Machan FC. Foto Machan Football Club
A
A
A

FAKTOR kewangan menjadi penyumbang utama kepada ketidakstabilan operasi kelab bola sepak dalam saingan liga di negara ini, apabila Machan FC, muncul pasukan pertama menarik diri baki saingan Liga A1 Semi-Pro Kejuaraan MBSB Bank 2024/25.

Presiden Machan FC, Azizi Fauzi berkata, pasukan itu terpaksa menarik diri daripada Liga A1 berikutan kekangan dana, selain peningkatan kos penerbangan.

“Machan FC beroperasi menggunakan dana sendiri sepanjang Liga A1 Semi-Pro 2024/25.

“Kita juga berusaha memohon dana daripada Jabatan Belia Dan Sukan Negeri Sarawak.

“Namun kita akur jawapan yang bajet tidak merangkumi penajaan untuk pasukan-pasukan Liga A1 yang dilihat sebagai separuh profesional,” katanya.

Kekangan kewangan menyaksikan Machan FC menarik diri daripada baki saingan Liga A1 Semi-Pro.
Kekangan kewangan menyaksikan Machan FC menarik diri daripada baki saingan Liga A1 Semi-Pro.

Sebagai rekod, pasukan dari Zon Tengah Sarawak di bawah Parlimen Kanowit kelab tunggal tempatan mewakili Sarawak dalam saingan Liga A1 Semi-Pro 2024/25 menggantikan slot Sarawak United.

Jelas Azizi lagi, pengurusan kelab membelanjakan hampir RM800,000 dalam tempoh enam bulan untuk kos pengangkutan dengan setiap aksi di tempat lawan mencecah RM35,000.

Artikel Berkaitan:

“Kelab bertanggungjawab atas insiden yang berlaku tanpa menuding jari kepada pihak lain serta memohon maaf kepada semua pemain, apabila hajat dan visi kelab untuk mengetengahkan bakat pemain tempatan bagi beraksi di peringkat kebangsaan tidak dapat diteruskan.

“Sebagai Presiden Machan FC, saya berterima kasih kepada Liga Bolasepak Amatur (AFL), Persatuan Bolasepak Negeri Sarawak serta Sarawak Sports Corporation kerana membantu kami menyediakan venue sepanjang liga berlangsung.

“Terima kasih juga kepada penyokong-penyokong yang sentiasa memberikan kata-kata semangat dan menyokong perjuangan Machan FC. Saya akur dan reda yang kita perlu berdamai dengan takdir,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!