Kebakaran kilang sebabkan pencemaran Sungai Rinting

Bangkai ikan ditemui terapung di permukaan di Sungai Rinting, petang Isnin. Foto media sosial
Bangkai ikan ditemui terapung di permukaan di Sungai Rinting, petang Isnin. Foto media sosial
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pencemaran Sungai Rinting, Masai di sini dipercayai berpunca susulan kebakaran sebuah kilang di Seri Alam, semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan siasatan selepas menerima aduan mengenai bangkai ikan ditemui terapung di permukaan dan bau air tercemar di sungai berkenaan, petang tadi.

"Hasil siasatan awal mendapati ketika proses pemadaman dilakukan, sejumlah besar air telah digunakan dan menyebabkan bahan sisa seperti debu dan serpihan dibawa masuk ke longkang sebelum mengalir ke sungai.

"Ini menyebabkan tahap keasidan air sungai meningkat (pH mencapai sembilan) sehingga mengakibatkan ikan mati,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya malam ini.

Katanya, jabatan itu telah mengambil sampel bagi menjalankan siasatan lanjut dan sekiranya terdapat penemuan baharu, maka tindakan susulan akan diambil.

"Bagaimanapun, kejadian ini tidak berkaitan dengan insiden pencemaran yang terdahulu dan dianggap sebagai kes terpencil. Oleh itu, orang awam dinasihatkan agar tidak panik atau mengaitkan kedua-dua insiden ini,” katanya.

Untuk rekod, beberapa siri pencemaran bau dilaporkan berlaku di beberapa lokasi di daerah ini antaranya Kampung Melayu Pandan, Taman Daya, Taman Istimewa, Taman Mount Austin, Kawasan Industri Desa Tropika, Kampung Maju Jaya, Kampung Tawakal dan Kampung Plentong Baru, sejak 3 Sept lepas.

Pada 11 September lepas, media melaporkan sebanyak 47 individu terdiri daripada golongan dewasa dan kanak-kanak termasuk murid sekolah mengalami gejala ringan akibat pencemaran bau yang dilaporkan berlaku di beberapa kawasan di Johor Bahru. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!