Netizen kritik Bukit Mak, dakwa lagu beri maksud negatif
LAGU Bukit Mak yang dibawakan oleh penyanyi Namawee mendapat kritikan netizen kerana mempunyai maksud negatif dan kurang sopan apabila dipersembahkan kepada umum.
Lagu tersebut yang disampaikan secara langsung bersama pelawak terkenal, Harith Iskandar di hadapan sebuah pusat beli-belah dekat Bukit Bintang, Kuala Lumpur telah mengundang reaksi kurang selesa dalam kalangan orang ramai yang menyaksikan persembahan tersebut.
Video persembahan kedua-dua penyanyi berkenaan tular di media sosial sehingga mendapat reaksi negatif daripada rakyatnya khususnya netizen.
Rata-rata mereka khususnya pengguna Facebook tidak bersetuju dengan penggunaan perkataan ‘bukit mak’ yang disebut berulang kali sehingga ia kedengaran seperti bahasa kesat.
Pemilik akaun, Syed Mohd Faiz Al-Shahab berkata, perkataan ‘bukit mak’ bukan sahaja tidak manis didengar malah jika diulang beberapa kali ia membawa makna tidak senonoh.
Justeru katanya, pihak berkuasa perlu memainkan peranan dengan menyekat lagu tersebut daripada terus menjadi halwa telinga pendengar.
“Walaupun memang ada tempat nama Bukit Mak di Kelantan tetapi bila dengar lagu penuh dalam video itu memang mereka gunakan perkataan lucah pada sesetengah lirik tetapi melalui bahasa kiasan ‘bukit mak’.
“Lagu yang macam ini memang viral sebab akan digunakan dalam video di TikTok. Takut bila budak-budak dengar nanti akan beri pengaruh tak baik,” katanya.
Pengguna Facebook lain, Elyn Melinda berkata, perkara tersebut memalukan dan mencemarkan imej Malaysia apabila terdapat pengkarya seni yang tidak menghormati adat dan budaya masyarakat tempatan.
Ujarnya, tiada satu agama dan bangsa di negara ini yang akan bersetuju dengan penggunaan perkataan lucah dalam sesebuah lirik lagu.
“Memalukan Malaysia! Tidak ada bangsa dan agama yang akan setuju dengan lagu macam ini. Pergilah tanya kawan atau jiran berbangsa India dan Cina adakah mereka suka lagu macam ini dimainkan?” tulisnya.
Sementara itu, Bryann Sii pula berkata, kebebasan untuk berkarya bukan membuka ruang untuk bersikap biadab dengan menggunakan seni kata yang tidak senonoh sehingga menimbulkan kontroversi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!