Rahsia rumah amal pernah dibongkar 11 tahun lalu

Seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Foto PDRM
Seramai 402 kanak-kanak berjaya diselamatkan hasil serbuan polis ke atas 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan. Foto PDRM
A
A
A

SERBUAN polis ke atas 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan baru-baru ini amat mengejutkan dan masih hangat diperbincangkan terutama di media-media sosial.

Satu demi satu fakta terbongkar dan ketika ini pihak berkuasa masih menjalankan siasatan terperinci berhubung isu berkenaan.

Sebenarnya, isu eksploitasi agama dan kanak-kanak ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana akhbar ini pernah membongkarkan aktiviti di salah sebuah rumah amal yang diserbu tersebut, kira-kira 11 tahun lalu.

Dalam pendedahan itu, anak yatim yang ditempatkan di rumah itu umpama pengemis. Meskipun sumbangan daripada orang ramai melimpah ruah tetapi anak-anak ini tidak dapat menikmatinya.

Lebih mengejutkan, sumbangan wang tunai mencecah ribuan ringgit yang disumbangkan individu atau syarikat korporat lenyap begitu sahaja dipercayai disalurkan kepada sebuah tabung lain untuk tujuan perniagaan.

Kisah mengenai perkara itu diceritakan oleh seorang sukarelawan yang bertugas di rumah kebajikan berkenaan.

Menurut sukarelawan tersebut, anak-anak kecil yang menghuni pertubuhan kebajikan di situ akan didoktrinkan untuk taasub kepada pemimpin dan mengamalkan ajarannya.

Jelasnya, apabila ada orang luar yang ingin melaksanakan program di rumah tersebut, pihak pengurusan rumah akan berpesan kepada anak-anak supaya menyembunyikan gambar pemimpin pertubuhan itu dan jika ada yang sebut namanya hendaklah dijawab ‘tidak kenal’.

Artikel Berkaitan:

Menurut sukarelawan itu lagi, penghuni pertubuhan kebajikan akan menunaikan solat mengikut waktu, namun yang menghairankan wujud pertambahan bacaan solat.

Kalau ada tetamu datang berkunjung, penghuninya akan solat seperti biasa, tapi jika sebaliknya, kesemua mereka wajib membaca zikir memuja pemimpin pertubuhan itu yang sudah meninggal dunia.

Selepas laporan itu didedahkan media, pihak berkuasa agama bagaimanapun memaklumkan hanya akan menjalankan pemantauan. Akhirnya kegiatan rumah amal berkenaan diteruskan seperti biasa tanpa sebarang tindakan.

Dengan serbuan yang dilakukan pihak polis pada minggu lalu, diharapkan pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan sebaik-baiknya dan tidak membiarkan jenayah ‘bertopengkan agama’ disembunyikan sekiranya benar-benar berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!