Pemain City diminta kekal tenang

Seorang penyokong City memakai jersi pasukan itu dengan nombor 115 sebagai menyindir dakwaan 115 pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana. Foto Agensi
Seorang penyokong City memakai jersi pasukan itu dengan nombor 115 sebagai menyindir dakwaan 115 pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana. Foto Agensi
A
A
A

PIHAK atasan di Manchester City memberitahu para pemain The Citizens bahawa kelab tersebut tidak akan kalah dalam pendengaran kes pelanggaran peraturan kewangan Liga Perdana (PL) yang bermula pada Isnin.

City sebelum ini secara sinis menggelar pendengaran kes tersebut sebagai 'perbicaraan abad ini'.

Mereka didakwa melanggar peraturan kewangan sepanjang sembilan tahun lalu, bermula dari 2009 hingga 2018 dan akan berdepan hukuman berat jika didapati bersalah dalam semua 115 dakwaan - antaranya pemotongan sehingga 100 mata serta denda atau penyingkiran liga.

Bekas pemain City, Aymeric Laporte yang telah memenangi lima gelaran di City dan merupakan sebahagian daripada anggota skuad treble 2022/23 mendedahkan para pemain telah diberikan jaminan bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan.

“Ketika saya berada di sana dan berita itu tersebar, pengarah sukan (Txiki Begiristain) serta CEO (Ferran Soriano) datang memberitahu semua pemain dan kakitangan bahawa kami semua boleh bertenang kerana tiada satu pun peraturan yang dilanggar oleh City.

“Mereka memberitahu kami bahawa semuanya baik-baik saja jadi itulah sebabnya kami semua percaya City akan baik-baik saja. Saya tidak rasa akan ada sebarang masalah.

“Seperti yang selalu dikatakan Pep Guardiola, jika ada kesalahan dilakukan, City perlu dihukum,” ujar Laporte kepada Mail Sport.

City telah didakwa pada Februari 2023 selepas penyiasatan selama empat tahun dan menghadapi perbicaraan yang boleh menggoncang sukan bola sepak sehingga ke akar umbi.

Artikel Berkaitan:

PL mendakwa City di atas kegagalan mereka menyerahkan maklumat kewangan tepat dan butiran terperinci pembayaran pemain serta pengurus pasukan.

Siasatan dicetus hasil laporan dokumen Football Leaks oleh Der Spiegel pada tahun 2018 dan City didakwa menyalurkan wang daripada pemilik kelab kepada penaja-penaja di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pendengaran kes City dijangka berlarutan sehingga dua bulan, tetapi keputusan paling awal hanya akan diperoleh sekitar Mac tahun depan.

Guardiola menegaskan bahawa kelab itu sudah bersedia untuk mengetahui nasib mereka dan berkata dia gembira kerana perbicaraan itu akhirnya dimulakan.

The Citizens memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL) sebanyak tiga kali antara tahun 2009 hingga 2018, bergelar juara pada edisi 2012, 2014 dan 2018.

Musim lalu, City meraih gelaran EPL keempat berturut-turut dalam era dominasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!