Gimik susu ikan ganti susu lembu

Produk itu didakwa membekalkan asid amino penting dan Omega-3 dan Omega-6 untuk menyokong perkembangan otak serta meningkatkan ingatan, daya tumpuan dan kecerdasan kognitif.
Produk itu didakwa membekalkan asid amino penting dan Omega-3 dan Omega-6 untuk menyokong perkembangan otak serta meningkatkan ingatan, daya tumpuan dan kecerdasan kognitif.
A
A
A

JAKARTA - Potensi menggunakan susu ikan sebagai pengganti susu lembu di bawah program makan tengah hari percuma yang dicadangkan bakal Presiden Indonesia, Prabowo Subianto telah mencetuskan polemik dan mengundang pelbagai reaksi.

Ada pihak yang mempersoalkan sama ada pemilihan susu ikan itu benar-benar sihat atau sukar ditelan atau berpotensi menyebabkan alergi.

Di negara itu, susu ikan dihasilkan daripada protein ikan tempatan yang diproses menjadi serbuk sebelum bertukar kepada cecair dan ditambah pelbagai perisa untuk menyembunyikan rasa atau bau hanyir.

Cadangan tentang menggunakan susu ikan itu bermula pada awal September lalu apabila Pengarah Presiden syarikat tempatan, ID Food, Sis Apik Wijayanto mengumumkan tentang kajian untuk alternatif produk susu lembu.

“Mungkin terdapat pilihan lain untuk menggantikan susu lembu. Ia masih di bawah penyelidikan termasuk susu ikan,” katanya pada 4 September lalu.

Program makan tengah hari percuma untuk kanak-kanak itu dijadualkan bermula pada Januari 2025.
Program makan tengah hari percuma untuk kanak-kanak itu dijadualkan bermula pada Januari 2025.

Media tempatan melaporkan ID Food bakal terlibat secara langsung di bawah program Prabowo tersebut yang dijadualkan bermula pada Januari 2025 dan menelan kos berjumlah 71 trilion rupiah (RM21.3 juta).

Difahamkan, idea menghasilkan susu ikan itu telah disuarakan pemerintah sejak tahun lalu.

Artikel Berkaitan:

Ia dibangunkan sebagai sebahagian daripada usaha diketuai Kementerian Hal Ehwal Kelautan dan Perikanan untuk memanfaatkan lambakan ikan di negara tersebut.

Sebuah lagi syarikat tempatan, Berikan Protein juga terbabit dengan penghasilan dan pengeluaran susu ikan bersama ID Food untuk mempromosikan produk.

Maklumat mengenai jualannya bagaimanapun tidak tersedia, namun susu ikan sudah boleh diperoleh melalui platform e-dagang tempatan.

Kos jimat, sumber mudah diperoleh

Sebelum ini, beberapa pengkritik telah menyuarakan kebimbangan tentang program makan tengah hari percuma tersebut dan ada yang mula mempertikaikan sama ada bekalan susu lembu dapat memenuhi permintaan itu.

Data rasmi menunjukkan penghasilan susu segar domestik hanya dapat menampung kira-kira 22.7 peratus keperluan di negara itu manakala selebihnya diimport.

Golongan pengkritik juga berpendapat susu segar bukanlah alternatif paling baik untuk kanak-kanak kerana kandungan gula yang tinggi selain kekurangan sokongan saintifik tentang manfaat jangka panjang terhadap kesihatan.

Beberapa pegawai kerajaan bagaimanapun mempertahankan penggunaan susu ikan yang dikatakan lebih jimat dan pengeluarannya boleh dipertingkatkan pada bila-bila masa tanpa berdepan masalah bekalan bahan asas.

“Kita mempunyai sumber ikan yang banyak. Susu ikan dihasilkan daripada ekstrak protein ikan atau hidrolisat tanpa mengira jenis ikan dan ia mudah diperoleh,” kata Menteri Koperasi dan Usaha Kecil dan Menengah, Teten Masduki.

Ketika ini, peruntukan dana awam untuk membayar pempengaruh bagi mempromosikan program makan tengah hari percuma itu turut mencetuskan respons kurang senang dalam kalangan warganet.

Pada minggu lalu, pemerintah mengumumkan sebanyak 10 juta rupiah (RM3,000) disediakan untuk kempen tersebut yang mana program itu juga sudah menjalani sesi percubaan di beberapa lokasi di Jawa Timur dan Jawa Tengah.

Menteri Komunikasi dan Informatika, Budi Arie Setiadi berkata, pemerintah cuba meyakinkan rakyat tentang kepentingan program itu.

“Kami akan menggunakan pelbagai saluran atau platform untuk kempen promosi secara besar-besaran,” jelasnya.

Data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendapati lebih 20 peratus kanak-kanak di Indonesia yang berumur di bawah usia lima tahun mengalami pertumbuhan terbantut pada 2022. - Agensi

INFO

- Ketua Pegawai Eksekutif Berikan Protein, Maqbulatin Nuha mendakwa kandungan nutrisi segelas susu ikan bersamaan dua gelas susu lembu.

- Ketua Persatuan Institusi Pendidikan Tinggi Indonesia untuk Pemakanan, Profesor Hardinsyah bagaimanapun mempersoalkan kebenaran fakta itu kerana beliau berpendapat makronutrien produk (seperti lemak, protein dan karbohidrat) mungkin boleh menggantikan makronutrien yang terdapat dalam susu lembu, namun kandungan mikronutrien (vitamin dan mineral) mungkin berbeza.

- Hidrolisat protein ikan yang merupakan asas untuk sebatian itu telah digunakan sebagai makanan tambahan atau aditif dan bukannya sebagai pengganti susu.

- Laman web pengeluar susu ikan Forayya mendakwa produk itu membekalkan asid amino penting dan Omega-3 dan Omega-6 untuk menyokong perkembangan otak serta meningkatkan ingatan, daya tumpuan dan kecerdasan kognitif.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!