Mungkin kerana RM1, segala urusan dipermudahkan

Gambar hiasan. Foto 123RF
Gambar hiasan. Foto 123RF
A
A
A

BARU-BARU ini, Merak Jalanan menumpang kereta seorang rakan dan berhenti di sebuah gerai di tepi jalan untuk membeli kuih-muih.

Dengan tangan penuh menjinjing plastik berisi kuih, Merak Jalanan teringin pula singgah di gerai sebelah menjual buah-buahan untuk membeli dua potong nanas.

Ketika membayar, penjaja buah-buahan itu memulangkan Merak Jalanan wang kertas RM1. Rupa-rupanya Merak Jalanan terlebih beri RM1 kepadanya.

Tapi disebabkan tangan penuh dengan plastik, Merak Jalanan kata kepada penjaja wanita yang sudah berusia itu, ambil sahajalah duit itu, Merak Jalanan halalkan.

Merak Jalanan melihat reaksi peniaga itu yang tersenyum ceria memeluk wang RM1 itu dan memberi isyarat tangan seperti orang sedang meminta ampun.

Nak dijadikan cerita, semasa hendak pulang, enjin kereta tidak dapat dihidupkan. Tiba-tiba datang seorang lelaki bertanya dan membantu.

Kami bernasib baik enjin kereta dapat dihidupkan selepas lelaki itu menggodek-godeknya, lalu kami meneruskan perjalanan.

Sampai di persimpangan lampu isyarat, sekali lagi kereta kawan Merak Jalanan buat hal. Enjin mati dan tidak boleh dihidupkan.

Artikel Berkaitan:

Sekali lagi Merak Jalanan terkejut kerana tanpa menunggu lama, seorang pemandu treler mengetuk cermin kereta dan menawarkan diri untuk membantu menolak kereta ke tepi.

Lelaki itu turut memberhentikan trelernya di belakang dan memberi isyarat kecemasan bagi melindungi kereta kami.

Sekali lagi kami bernasib baik apabila enjin kereta dapat dihidupkan selepas beberapa kali mencuba dan selamat kembali ke rumah.

Merak Jalanan bersyukur kerana walaupun ditimpa masalah, namun ia dipermudahkan.

Terfikir juga Merak Jalanan, adakah disebabkan wang RM1 yang Merak Jalanan ‘sedekahkan’ kepada penjaja buah-buahan tadi, ALLAH memudahkan segala urusan. Walahuaklam...

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!