Rela dimadu, pengantin lelaki bersama dua isteri sanding serentak
PALEMBANG - Majlis persandingan seorang lelaki bersama dua isterinya secara serentak telah menjadi tular.
Upacara jarang berlaku itu diadakan di Desa Pauh, Kecamatan Rawas Ilir, Kabupaten Musi Rawas Utara (Muratara) di Sumatera Selatan, Indonesia pada Sabtu lalu.
Gambar pengantin lelaki dikenali sebagai Epan Padli, 25, bersama isteri-isterinya itu turut dikongsikan di platform media sosial dan mengundang pelbagai reaksi.
Menerusi laporan Tribun Sumsel, dua pengantin wanita itu dikenali sebagai Halima Leti dan Purnama Linda yang berusia 19 dan 20 tahun.
Ia turut disahkan Kepala Desa Pauh, Aziz yang berkongsi kisah percintaan unik bersama kedua-dua pujaan hatinya.
"Selepas tamat sekolah, Epan bertunang dengan Halima Leti. Dia merantau kerja di Kota Palembang dan bertemu dengan kekasih baharu, Purnama Linda.
"Epan menikahi gadis sekampungnya, Halima Leti pada bulan lalu dan disusuli Purnama Linda seminggu kemudian. Dia enggan kecewakan mana-mana pihak jika terpaksa memilih salah seorang daripanya," ujar Aziz.
Menurutnya, perkahwinan itu dipersetujui pihak keluarga walaupun ada yang mempersoalkan keputusan mereka mahu bermadu pada usia agak muda.
"Mungkin jodohnya dapat menikah dua wanita sekali gus. Mereka turut membuat surat pengakuan untuk mengesahkan tiada paksaan dan sememangnya rela berkongsi suami," jelasnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!