Dulu cita-cita jadi juruteknik biasa, kini bergelar tenaga pengajar industri
SHAH ALAM - Jika dahulu graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kurang dipandang berbanding pelajar lepasan universiti, namun perkara itu tidak menghalang Muhammad Hanif Selamat, 36, daripada terus mencipta inovasi sekali gus bergelar pakar dalam bidang kejuruteraan mekanikal pembuatan.
Lebih membanggakan, hasil ciptaan pelajar di bawah seliaan beliau berjaya meraih anugerah gangsa dalam Virtual Innovation Competition 2024.
Video penghasilan mesin Shuttlecock Collector yang menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) untuk mengutip bulu tangkis oleh pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Pembungkusan) dari Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah itu boleh dilihat menerusi TikTok MechapackPolycc.
Muhammad Hanif yang juga pensyarah dan Ketua Program Kejuruteraan Mekanikal berkata, usaha dan kepakaran yang dikongsikan itu membuahkan hasil, namun semua kejayaan itu tidak datang dengan mudah.
"Kami mengambil masa enam bulan untuk menyiapkan projek ini dan alhamdulillah kita berjaya juga mendapat anugerah gangsa.
"Semua ini hasil usaha pelajar saya yang bertungkus lumus siapkan projek. Saya hanya menyelia sahaja dan berkongsi sedikit ilmu," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, menurut Muhammad Hanif, bermula daripada membaca mengenai bidang kemahiran telah menimbulkan minat untuk meneroka kerjaya industri pembuatan sejak di bangku sekolah rendah lagi.
Tambah beliau, minat tersebut turut disokong oleh kedua-dua orang tuanya dan kini hasil pengalaman yang diperoleh dapat dikongsi bersama pelajar serta pemain industri.
“Sewaktu sekolah rendah saya suka baca bahagian iklan pekerjaan di surat khabar dan bermula pencarian saya mengenai jurusan kemahiran sebab saya tengok pada waktu itu permintaan kerja bagi juruteknik sangat tinggi.
“Selepas tamat Penilaian Menengah Rendah (PMR) saya pergi ke Sekolah Teknik Gombak, tetapi sekarang sudah menjadi Kolej Vokasional Gombak dan saya mengambil jurusan sebagai juruteknik.
“Saya berasal daripada keluarga sederhana, jadi apabila masuk dalam bidang kemahiran orang tidak pandang sangat, tetapi dengan kemahiran menjadikan saya individu pada hari ini sehingga boleh menjadi pensyarah untuk mendidik anak bangsa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Muhammad Hanif berkata, TVET telah mengajar beliau banyak perkara termasuk selok belok industri dengan lebih jelas.
Tambah beliau, walaupun dulu bidang kemahiran tidak dipandang, kini menjadi rebutan pemain pelbagai industri sama ada dalam mahupun luar negara.
“Jadi TVET ini bukan sahaja mengajar saya banyak perkara tetapi juga menggubah hidup saya daripada bercita-cita menjadi juruteknik biasa kepada tenaga pengajar industri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!