Berhenti kerja jaga bapa mentua terlantar sakit jantung

Raja Aimie berkorban dengan berhenti kerja untuk menjaga bapa mentuanya yang terlantar sejak beberapa bulan lalu.
Raja Aimie berkorban dengan berhenti kerja untuk menjaga bapa mentuanya yang terlantar sejak beberapa bulan lalu.
A
A
A

TEMERLOH - Seorang pekerja kilang kayu sanggup berhenti kerja demi menjaga bapa mentuanya yang terlantar akibat serangan jantung sejak beberapa bulan lalu.

Raja Aimie Nadia Raja Amran, 32, dari Taman Saga dekat Mentakab di sini mengambil tindakan tersebut untuk mengurangkan beban suaminya Moryadi Syukri, 38, yang mencari rezeki sebagai tukang kebun sekolah dan juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Menurutnya, bapa mentuanya, Syukri Hamid, 72, berdepan masalah saluran jantung tersumbat, pendarahan usus serta kehilangan kaki kanan akibat komplikasi serangan tersebut pada Mei lalu.

"Saya mengambil keputusan berhenti selepas enam tahun bekerja kerana ingin membantu suami dan percaya ia satu rezeki selain ujian untuk kami sekeluarga.

"Saya juga bertuah kerana keluarga saya menyokong keputusan berhenti kerja untuk menjaga bapa mentua buat masa ini selain adik-beradik suami turut membantu mengurangkan kos perbelanjaan," katanya kepada Sinar Harian.

Jelasnya, adik-beradik suaminya yang tinggal di lokasi berbeza menyebabkan dia sanggup memikul tugas itu bersama suaminya.

Keadaan Syukri yang terlantar akibat serangan jantung.
Keadaan Syukri yang terlantar akibat serangan jantung.

Ujar ibu kepada tiga cahaya mata berusia lima hingga 11 tahun itu lagi, bagi menambahkan pendapatan keluarganya, dia mengusahakan gerai masakan panas dan burger setiap petang.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dengan pendapatan suami kira-kira RM1,500 sebulan, dia perlu berusaha menambahkan rezeki walaupun mengakui penat kerana sedang mengandung lima bulan.

"Saya bersyukur kerana anak-anak juga memahami dan banyak membantu saya menjaga datuk mereka," tambahnya.

Dalam pada itu, Raja Aimie memberitahu, bapa mentuanya sangat memerlukan sebuah katil, tilam selain susu khas untuk rawatan dan penjagaannya.

"Buat masa ini, perbelanjaan untuk kos penjagaan dan rawatan ayah kira-kira RM1,500 termasuk untuk susu khas, pampers dewasa dan dressing kerana luka di belakang badan disebabkan keadaannya yang terlantar," ujarnya.

Sementara itu, Syukri terharu dan bersyukur kerana menantunya sudi menjaga dirinya yang terlantar berikutan isterinya meninggal dunia akibat Covid-19 pada 2020.

Bagi mereka yang ingin membantu mengurangkan beban keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Maybank (156020480640) atas nama Raja Aimie Nadia Raja Amran.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!