Jadual padat mula hantui Manchester City - Guardiola

Guardiola
Guardiola
A
A
A

MANCHESTER City akan menyesuaikan diri berdepan minggu yang mencabar dengan menggunakan khidmat pemain akademi The Citizens, apabila mula menyingkap kempen Liga Juara-Juara format baharu.

Pengendali Manchester City, Pep Guardiola berkata, penyandang juara Liga Perdana Inggeris itu perlu juga segera menyesuaikan diri dengan musim mencabar apabila dijangka akan bermain kira-kira 75 perlawanan.

“Saya tidak mempunyai pendapat mengenai format baharu Liga Juara-Juara. UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah) memutuskan perkara ini, jadi kami perlu berada di sana dan memainkan format itu.

“Ya, terdapat lebih banyak perlawanan (dalam kalendar), tetapi itulah yang berlaku. Apa yang boleh kami lakukan? Pada Khamis, kami bermain menentang kelab terbaik Itali kemudian pada Ahad kami menentang Arsenal, pencabar terbaik dua musim lalu.

“Kemudian Rabu kami perlu bersedia dengan pemain-pemain akademi untuk Piala Liga. Kami perlu menyesuaikan diri dengan situasi ini. Saya suka bermain Liga Juara-Juara, jadi kami akan bermain,” kata Guardiola.

Skuad Guardiola sedang bersiap sedia untuk menerima kunjungan juara Serie A Inter Milan dalam Liga Juara-Juara pada Khamis sebelum melayan kunjungan Arsenal dalam Liga Perdana pada Ahad diikuti Watford pada pusingan ketiga Piala Liga Rabu depan.

Ramai pemain City, termasuk Kevin De Bruyne, Manuel Akanji, dan Bernardo Silva, sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai kalendar yang padat musim ini dengan format Liga Juara-Juara yang diperluaskan selain Piala Dunia Kelab.

Ketiga-tiga kejuaraan kelab Eropah diperluaskan kepada 36 pasukan musim ini menyaksikan beberapa liga terkemuka Eropah dan Kesatuan Pemain Profesional Dunia (FIFPRO) memfailkan aduan kepada Kesatuan Eropah (EU) untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) berhubung peluasan Piala Dunia Kelab 32 pasukan mulai di Amerika Syarikat mulai Jun depan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, England musim lalu mencatatkan jumlah perlawanan berturut-turut domestik tertinggi, 87, dalam kalangan liga teratas Eropah, dengan kelab Liga Perdana Inggeris mencatatkan purata masa pemulihan terpendek antara perlawanan pada 67.3 jam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!