Kesediaan Pas jalin semula kerjasama miliki agenda tersembunyi

Laporan Sinar Harian Ahad lalu mengenai penjelasan Tuan Ibrahim berhubung keputusan Pas untuk menghidupkan kembali MN tanpa pembabitan Ahmad Zahid.
Laporan Sinar Harian Ahad lalu mengenai penjelasan Tuan Ibrahim berhubung keputusan Pas untuk menghidupkan kembali MN tanpa pembabitan Ahmad Zahid.
A
A
A

ALOR SETAR - Pas didakwa mempunyai agenda politik tersembunyi apabila menyatakan kesediaan menjalinkan semula kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional (MN) namun tanpa pembabitan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyatakan antara punca Pas tidak mahu Ahmad Zahid terlibat dalam MN disebabkan 47 pertuduhan dan keputusan dilepas tanpa dibebaskan (DNAA).

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, UMNO Kedah berpendapat bahawa Pas seolah-olah mempunyai agenda politik tersembunyi selepas menilai kenyataan itu.

"Ini kerana pada September 2019, apabila Pas dan UMNO bersama-sama menandatangani piagam MN, ketika itu Pas menerima UMNO dengan tangan terbuka termasuk Ahmad Zahid yang ketika itu sudah pun dihadapkan dengan 87 pertuduhan.

"Kenapa ketika itu Pas tidak meletakkan sebarang syarat, malah dapat menerima penjelasan Datuk Seri Zahid bahawa 87 pertuduhan dikenakan terhadapnya oleh Tun Dr Mahathir kerana ketegasan beliau mempertahankan parti UMNO daripada dibubarkan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Shaiful Hazizy
Shaiful Hazizy

Beliau berkata, pihaknya mempersoalkan mengapa asas yang sama tidak dikenakan terhadap Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berikutan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai empat pertuduhan rasuah bernilai RM232.5 juta.

Artikel Berkaitan:

"Jelas di sini bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan syarat dikenakan dan alasan diguna pakai oleh Tuan Ibrahim," katanya.

Shaiful Hazizy berpandangan, adalah lebih berprinsip dan bermaruah jika Pas turut mengenakan syarat yang sama terhadap Bersatu, iaitu gabungan Pas dan Bersatu tanpa Muhyiddin yang menghadapi tuduhan rasuah itu.

Sehubungan itu, beliau berkata, UMNO Kedah ingin menyatakan sokongan terhadap segala keputusan berkaitan hala tuju parti diputuskanpresiden yang dibantu oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO.

"Apa yang penting sekarang bukanlah agenda untuk meruntuhkan kerajaan atau 'tebuk atap', sebaliknya segala usaha dan tenaga parti harus ditumpukan untuk membangunkan negara bagi mendepani segala cabaran sehinggalah tamat penggal," katanya.

Tambah Shaiful Hazizy, UMNO Kedah ingin menyarankan Pas supaya hentikanlah angan-angan untuk menjadi kerajaan semula dengan agenda tebuk atap.

"Lebih baik Pas terima hakikat bahawa mereka adalah pembangkang dan fokuslah untuk menjadi pembangkang yang lebih berwibawa," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Pas memutuskan menghidupkan kembali MN tanpa pembabitan Ahmad Zahid ekoran Presiden UMNO itu masih terpalit pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kes tersebut masih boleh dibicarakan sekiranya terdapat bukti,meskipun mahkamah menetapkannya DNAA.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!