JPJ kesan kenderaan Thailand di Malaysia lebih tiga tahun tanpa ICP

Kifli (dua dari kanan) melihat pacuan empat roda yang disita melalui Ops Khas ICP
Kifli (dua dari kanan) melihat pacuan empat roda yang disita melalui Ops Khas ICP
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pemandu kenderaan antarabangsa terutama dari Thailand yang menyalahgunakan Permit Pengedaran Antarabangsa (ICP) sehingga berada di negara ini lebih tiga tahun.

Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Kifli Ma Hassan berkata, melalui Ops Khas ICP selama dua minggu bermula 5 September lalu turut mengesan ada di antara kenderaan yang tidak didaftarkan langsung untuk ICP.

Beliau memberitahu, pemandu kenderaan itu mungkin mengambil kesempatan tinggal lebih lama dan kereta disimpan di lokasi tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa selain hanya digunakan pada waktu tertentu sahaja.

"Siasatan juga mendapati penduduk Malaysia yang tinggal di sempadan menggunakan kenderaan didaftarkan di Thailand berkemungkinan menggunakan nama ahli keluarga yang menetap di negara itu.

"Ada warga tempatan yang berani memandu kenderaan itu lebih jauh walaupun hanya dibenarkan dalam jarah sejauh dua kilometer sahaja," katanya kepada pemberita sempena Lawatan Kerja Rasmi ke JPJ Kelantan pada Selasa.

Kifli memberitahu, JPJ akan melakukan siasatan lanjut berkaitan kesalahan itu.

Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah.

Menurut Kifli, tiada isu pembayaran sama sekali kerana pendaftaran ICP dilakukan secara percuma tetapi dikenakan bayaran insurans.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, jelas beliau, kesalahan lain yang serius ialah kenderaan yang sudah tamat tempoh ICP tetapi dipandu secara bebas di negara ini.

"Ada juga kenderaan Thailand yang berada dalam negara ini memalsukan nombor plat dengan menampal huruf rumi," katanya.

Kifli memberitahu, kesalahan tiada ICP boleh didenda di bawah Sub Seksyen 119(2) tidak melebih RM2,000 atau penjara tidak lebih enam bulan.

"Bagi kesalahan berulang, boleh didenda tidak lebih RM4,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan atau kedua-duanya sekali," katanya.

Tambah beliau, pihaknya akan mengarahkan semua negeri di sempadan Thailand untuk menguatkuasakan kesalahan itu dan memberi fokus kepada kenderaan luar yang melebihi tempoh dibenarkan.

Melalui operasi berkenaan, sebanyak 484 kenderaan diperiksa termasuk 211 motosikal dan 98 kereta manakala 55 kenderaan disita.

Jumlah kenderaan yang tiada ICP ialah 45 membabitkan 33 motosikal, masing-masing lima pacuan empat roda dan dua van.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!