GISBH: Lima elemen jenayah dikenal pasti libat mangsa

A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Saringan kesihatan terhadap 392 kanak-kanak yang diselamatkan dari rumah amal di bawah GISB Holding Sdn Bhd (GISBH) telah mengesan lima elemen jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, antara elemen dikesan ialah penderaan fizikal dan emosi kanak-kanak tersebut.

"Selain itu, elemen jenayah lain ialah pengantunan seksual kanak-kanak (child grooming), buruh kanak-kanak, pengabaian kanak-kanak dan pembesaran malnutrisi (tumbesaran terbantut),” katanya pada sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini pada Selasa.

Beliau berkata, saringan kesihatan yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu melibatkan 202 kanak-kanak lelaki dan 190 kanak-kanak perempuan.

Katanya, proses saringan ini telah selesai dilakukan dan memerlukan penilaian lanjut dari segi kesihatan emosi terhadap mangsa.

Razarudin ketika sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Razarudin ketika sidang media di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama

Mengulas mengenai kebajikan mangsa, tambah Razarudin, seramai 149 kanak-kanak berumur satu hingga 10 tahun telah diberikan perintah jagaan sementara yang diselia oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Seksyen 25(2) Akta Kanak-kanak 2001.

"Mangsa-mangsa ini telah dipindahkan ke empat pusat perlindungan yang tidak boleh saya dedahkan.

Artikel Berkaitan:

"Baki mangsa kanak-kanak iaitu 243 orang masih ditempatkan di Pulapol Kuala Lumpur dan akan dipindahkan ke pusat jagaan sementara secara berperingkat," ujarnya.

Kata beliau, siasatan kes ini meliputi dua fasa iaitu Fasa 1 yang bermula dari 2 hingga 10 September dan Fasa 2 bermula dari 11 September hingga kini.

"Sebanyak 10 kertas siasatan telah dibuka pada fasa pertama siasatan, iaitu enam melibatkan Kontinjen Selangor dan empat di Kontinjen Negeri Sembilan.

"Fasa 1 di Selangor melibatkan kertas di bawah Seksyen 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 14 dan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 serta Seksyen 344/323 Kanun Keseksaan.

"Status keenam-enam kes tersebut masih dalam peringkat siasatan," ujarnya.

Katanya lagi, pecahan tiga kertas siasatan yang dibuka pada Fasa 1 di Negeri Sembilan ialah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

"Tiga kertas siasatan ini telah dirujuk ke pihak Peguam Negara hari ini (Selasa) untuk arahan lanjut," katanya.

Jelas Razarudin, selain PDRM, siasatan dalam tindakan Op Global ini turut melibatkan kolaborasi KKM, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!