Sungai Sekah tercemar, JAS ambil sampel loji kumbahan

Keadaan di Sungai Sekah, Nilai yang berwarna hitam. (Gambar kecil: Veerapan)
Keadaan di Sungai Sekah, Nilai yang berwarna hitam. (Gambar kecil: Veerapan)
A
A
A

SEREMBAN - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan mengambil dua sampel dari sebuah loji di Nilai selepas disyaki menyebabkan pencemaran membabitkan sisa kumbahan di Sungai Sekah.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan berkata, pihaknya menerima aduan mengenai keadaan sungai itu berwarna hitam pada 8 September lalu dan telah ke lokasi pada jam 11.30 pagi.

"Saya dimaklumkan bahawa siasatan awal mendapati keadaan sungai telah lama berwarna hitam dan berbau.

"Berikutan itu dua sampel telah diambil untuk tujuan pemantauan iaitu satu botol plastik berisipadu satu liter untuk analisa BOD5 dan Nitrate manakala sampel kedua juga isipadu sama untuk analisa COD dan Ammoniacal Nitrogen," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Ujarnya, pasukan Badan Kawal Selia Air (BKSA) juga mendapat maklumat mengenai sebuah loji disyaki mengeluarkan sisa kumbahan yang menjadi punca pencemaran terbabit.

Sampel air di Sungai Sekah, Nilai diambil untuk siasatan.
Sampel air di Sungai Sekah, Nilai diambil untuk siasatan.

"Dengan itu, JAS telah memasuki loji rawatan kumbahan yang telah dikenal pasti itu pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari bersama wakil Indah Water Consortium (IWK).

Artikel Berkaitan:

"Menerusi siasatan ini, sebanyak dua sampel telah diambil di takat pelepasan akhir loji berkenaan untuk tujuan pemantauan iaitu satu botol plastik satu liter untuk analisa BOD5 dan Nitrate manakala sampel kedua ialah sebotol plastik satu liter untuk analisa COD dan Ammoniacal Nitrogen.

"Ia menjadikan jumlah keseluruhan sampel yang dikumpulkan sebanyak empat sampel iaitu di Sungai Sekah, Nilai dan loji berkenaan sebelum dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia pada 10 September lalu untuk mendapatkan pengesahan mengenai kes ini sebelum tindakan susulan diambil," katanya.

Katanya, JAS juga telah mengarahkan pihak IWK mengambil tindakan penambahbaikkan segera bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Saya juga ingin menekankan keperluan dan kebertanggungjawaban semua pihak dalam menjaga kelestarian alam termasuk kualiti sungai yang merupakan punca perkhidmatan air.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak jika didapati bersalah atau melanggar pematuhan ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!