Tiga penganggur didakwa culik lelaki berusia 27 tahun

Tiga penganggur didakwa menculik seorang lelaki di kawasan tempat letak kereta di PPR Kampung Muhibbah, Cheras, tahun lepas. Foto hiasan
Tiga penganggur didakwa menculik seorang lelaki di kawasan tempat letak kereta di PPR Kampung Muhibbah, Cheras, tahun lepas. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang lelaki di kawasan tempat letak kereta di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Muhibbah, Cheras, tahun lepas.

Mohammad Izzul Haikal Zainodin, 35, Zairen Idzwan Mohd Haslin, 33, dan Hoezniezam Hamzah, 41, bersama seorang lagi yang turut dituduh, didakwa menculik atau melarikan seorang lelaki berusia 27 dengan niat mendatangkan kecederaan parah ke atas mangsa di PPR berkenaan pada 7.30 malam, 3 September 2023.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 367 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang boleh dihukum di bawah seksyen sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan jaminan dengan alasan kesalahan tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan kepada mahkamah.

Hakim Siti Shakirah Mohtarudin tidak membenarkan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh dan menetapkan 23 September ini untuk sebutan kes. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!