'Abang Bas' bebas selepas bayar ikat jamin RM40,000, diwakili peguam Ahmad Zaharil

'Abang Bas' bersama peguam, Ahmad Zaharil sejurus selesai membayar ikat jamin RM40,000 di Kompleks Mahkamah pada Selasa.
'Abang Bas' bersama peguam, Ahmad Zaharil sejurus selesai membayar ikat jamin RM40,000 di Kompleks Mahkamah pada Selasa.
A
A
A

MUAR - 'Abang Bas' yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak dan membuat hantaran jelik membayar ikat jamin RM40,000 di Kompleks Mahkamah di sini pada Selasa.

Proses bayaran jaminan ke atas lelaki berusia 24 tahun itu yang diwakili peguam terkenal Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar selesai pada jam 11.50 pagi.

Sejurus selepas itu, Ahmad Zaharil memegang tangan 'Abang Bas' untuk bertemu ibu, ayah dan keluarga yang menunggu di mahkamah sejak awal pagi.

Suasana mahkamah bertukar hiba, apabila 'Abang Bas' memeluk erat ibu dan ayahnya serta mengucapkan syukur di atas pembebasan anak bongsu daripada enam beradik.

Dalam pada itu, Ahmad Zaharil berkata, 'Abang Bas' mempunyai hak untuk mendapatkan keadilan menerusi saluran yang betul iaitu perundangan di mahkamah.

"Saya fikir ia tidak adil, awak tidak kenal pun 'dia' tetapi bagi komen macam cerdik pandai sedangkan 'dia' tiada peluang untuk membela diri ketika itu.

"Perkara pertama saya minta 'Abang Bas' bertenang dan kami akan mengemukakan rayuan untuk mengurangkan ikat jamin yang dikenakan dan mendapatkan semula bas yang di sita," katanya ketika ditemui di luar mahkamah.

'Abang Bas' memeluk erat ibunya selepas bayaran jaminan selesai dibayar di Kompleks Mahkamah pada Selasa.
'Abang Bas' memeluk erat ibunya selepas bayaran jaminan selesai dibayar di Kompleks Mahkamah pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Selasa lalu, 'Abang Bas' dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Muar atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017 dan Seksyen 15 (a) (iii) akta sama.

Pertuduhan itu membabitkan amang seksual fizikal serta memerhati kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun secara berulang bagi maksud seksual.

Bagaimanapun, dia juga mengaku tidak bersalah bagi kedua-dua pertuduhan ini dan dibenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 namun gagal membayarnya.

Dua hari kemudian iaitu pada Khamis, 'Abang Bas' sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen Batu Pahat atas pertuduhan menggunakan aplikasi TikTok dengan menghantar komen jelik dalam videonya, bulan ini.

Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Osman Affendi Mohd Shalleh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama dengan denda sehingga RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya dan seterusnya, denda RM1,000 bagi setiap kesalahan selepas yang disabitkan.

Walaupun dibebaskan, namun 'Abang Bas' masih terikat dengan syarat tambahan ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Muar dan Mahkamah Sesyen Batu Pahat iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap awal bulan dan tidak boleh mengganggu atau berkomunikasi dengan mangsa atau saksi pendakwaan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!