Zii Jia tersingkir awal di China
BAGAI serba tidak kena buat pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia apabila tersingkir seawal pusingan pertama Terbuka China sebentar tadi.
Pemain nombor tiga dunia itu dikejutkan oleh wakil Jepun, Koki Watanabe dalam pertarungan straight set 29 minit permainan pada kejohanan berstatus Super 1000 tersebut.
Dalam aksi di Olympic Sports Center Gymnasium itu, Zii Jia mendahului 5-0 pada set pertama, sebelum Watanabe mengikat mata 14-14.
Watanabe yang menghuni ranking ke-14 dunia kemudian meneruskan momentum positif untuk menang 21-15.
Zii Jia cuba bangkit pada set kedua, namun cerita sebaliknya berlaku apabila Watanabe terus mendominasi permainan untuk mendahului 15-0.
Aksi tidak menjadi terus menghantui pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu apabila berulang kali melakukan kesilapan.
Watanabe memanfaatkan peluang tersebut untuk mengesahkan kemenangan 21-2.
Keputusan tersebut mengulangi pencapaian Zii Jia yang ditunjukkan jalan keluar pada pusingan awal Terbuka Jepun bulan lalu.
Pemain berusia 26 tahun itu kemudian menarik diri daripada dua kejohanan utama - Terbuka Korea Selatan dan Terbuka Hong Kong sebelum kembali ke China kali ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!