Tiada laporan ajaran sesat berkait GISBH di Melaka - Ab Rauf

Ab Rauf (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka 2024 di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah pada Selasa.
Ab Rauf (tengah) ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka 2024 di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka belum menerima laporan mahupun aduan berhubung ajaran sesat di negeri itu termasuk yang dikaitkan dengan syarikat GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, bagaimanapun Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) akan terus melakukan pemantauan dan memberikan kerjasama kepada pihak polis untuk melakukan siasatan.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya terdapat unsur-unsur ajaran yang melanggar akidah atau syariah di Melaka.

"Termasuk sekiranya ada perkara-perkara yang perlu dilihat, dikaji dan diberikan cadangan supaya kita boleh ambil tindakan atau sebaliknya.

"Setakat hari ini, kita tak terima lagi laporan berkaitan itu berbanding negeri-negeri lain," katanya.

Ab Rauf (tengah) bergambar bersama penerima-penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul.
Ab Rauf (tengah) bergambar bersama penerima-penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup dan Penyampaian Anugerah Khas Maulidur Rasul sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H Peringkat Negeri Melaka 2024 di Dataran Pusat Islam, Bukit Palah di sini, pada Selasa.

Ab Rauf yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, JAIM dan Mufti kerajaan negeri, Datuk Halim Tawil melalui Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak negeri akan mengeluarkan fatwa sekiranya terdapat ajaran sesat berkaitan GISBH di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Media pada minggu lalu melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyelamatkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!