Pesara rugi ditipu 'pegawai polis' konon bantu selesai kes anak
LUMUT - Seorang pesara kerajaan kerugian RM5,000 akibat terpedaya dengan penipuan panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, mangsa berusia 64 tahun telah menerima panggilan daripada suspek yang menawarkan untuk membebaskan anaknya yang dalam tahanan polis.
"Suspek telah menawarkan mangsa untuk menyelesaikan siasatan dengan membayar wang terbabit bagi membebaskan individu yang ditahan bersabit kes narkotik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung.
"Mangsa menyedari ditipu setelah hadir untuk berjumpa pegawai polis dan seterusnya membuat laporan pada jam 4.19 petang," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut Mohamed Nordin, sebanyak 39 kes dicatatkan melibatkan kerugian berjumlah RM782,766.11 sejak Januari hingga September.
"Antara modus operandi penipuan itu adalah suspek menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai polis, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mahkamah, bank atau perkhidmatan penghantaran barangan.
"Masyarakat diingatkan semua urusan dengan agensi kerajaan hanya dilakukan di pejabat dan bukanlah melalui panggilan telefon kecuali untuk janji temu," katanya.
Ujar beliau, tidak melayani panggilan yang tidak dikenali adalah langkah terbaik agar tidak terpedaya dengan taktik sindiket penipuan tersebut.
"Beritahu pasangan, rakan atau ahli keluarga berhubung panggilan yang mencurigakan atau melakukan semakan di agensi terlibat.
"Jangan dedahkan maklumat perbankan kepada mana-mana pihak dan selain menghubungi Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC) ditalian 997," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!