Terima kasih rakyat Malaysia bantu 'Abang Bas' - Bapa
MUAR - Bapa kepada 'Abang Bas' yang didakwa atas pertuduhan melakukan amang seksual kanak-kanak dan membuat hantaran jelik mengucapkan terima kasih kepada peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar dan semua pihak yang membantu keluarganya.
Warga emas itu juga bersyukur kerana anaknya kembali ke pangkuan keluarga selepas jaminan sebanyak RM40,000 dibayar di Kompleks Mahkamah di sini pada Selasa.
"Terima kasih kepada peguam Ahmad Zaharil dan semua yang membantu dari segi kewangan dan tenaga.
"Kami orang kampung tidak tahu sangat prosedur mahkamah. Saya berdoa semoga dipermudahkan segala urusan anak saya," katanya.
Tambah warga emas itu, dia juga memantau anak bongsu daripada enam beradik itu sehingga kesnya di mahkamah selesai.
Bagaimanapun, akuinya ramai pihak yang ingin membantu anaknya dengan menawarkan pekerjaan termasuk pemandu bas.
"Sekarang banyak tawaran pekerjaan yang diterima daripada pihak yang sanggup menolong.
"Ada yang tawar bekerja di syarikat, jadi pembantu malah ada juga sebagai pemandu bas," katanya.
Sebelum itu, proses membayar ikat jamin dilakukan peguam probono, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar di mahkamah.
Abang bas sebelum ini ditahan di Pusat Koreksional di sini, sejak Selasa lalu selepas gagal membayar ikat jamin keseluruhan berjumlah RM40,000 yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Muar dan Batu Pahat.
Keseluruhan jumlah ikat jamin itu dikenakan membabitkan tiga pertuduhan antaranya mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (AKKSTKK) 2017, Seksyen 15 (a) (iii) akta sama dan Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Pada Rabu lalu, keluarga Abang Bas telah membuka tabung kutipan derma bagi membantu mengumpul dana untuk membayar wang jaminan tersebut.
Tabung derma ini menggunakan akaun bank milik kakaknya yang telah memuat naik hantaran di Facebooknya.
Wang jaminan tersebut berjaya dikumpul dalam tempoh tiga hari daripada rakyat Malaysia sebelum saluran sumbangan itu ditutup oleh kakaknya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!