Beberapa daerah di Kedah dilanda banjir kilat

Banjir kilat di daerah Kulim menjejaskan Taman Sang Kancil menyebabkan sebuah PPS dibuka di surau taman berkenaan. Foto APM
Banjir kilat di daerah Kulim menjejaskan Taman Sang Kancil menyebabkan sebuah PPS dibuka di surau taman berkenaan. Foto APM
A
A
A

ALOR SETAR - Beberapa daerah di Kedah mula dinaiki air akibat hujan lebat sejak Isnin menyebabkan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka bagi menempatkan mangsa banjir.

Bagaimanapun, jumlah sebenar mangsa dan daerah terlibat setakat ini masih dalam bancian.

Berdasarkan kenyataan awal dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, antara daerah terjejas ialah Kubang Pasu, Kulim, Bandar Baharu dan Kuala Muda.

Menurut Pegawai APM Kubang Pasu, Kapten (PA) Mohd Adenin Suhaimi, sebanyak tiga PPS dibuka di Daerah Kubang Pasu antaranya PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau, PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun dan PPS Lubuk Batu.

"Kawasan yang terlibat ialah di Mukim Malau iaitu Kampung Padang Panjang, Kampung Sampang dan Kampung Lubuk Ipoh.

Anggota APM memantau banjir di Daerah Bandar Baharu, Kedah. FOTO APM
Anggota APM memantau banjir di Daerah Bandar Baharu, Kedah. FOTO APM

"Setakat ini di PPS SK Malau menempatkan 53 mangsa daripada 15 buah keluarga.

Bagaimanapun jumlah terkini mangsa di keseluruhan kawasan masih dalam bancian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pegawai APM Daerah Bandar Baharu, Leftenan (PA) Abdul Rahim Khiruddin berkata, tiga mukim dinaiki air akibat hujan lebat dari jam 6 pagi Selasa.

Menurutnya, hujan berterusan sehingga jam 10 pagi menyebabkan Kampung Batu 18, Taman Melur, Kampung Bukit Buluh dan Kampung Air Putih di Mukim Serdang dinaiki air.

"Selain itu, Kampung Sungai Tepus di Mukim Bagan Samak dan Kampung Padang di Mukim Sungai Kechil Ilir juga terjejas," katanya.

Beliau berkata, hujan turut mengakibatkan limpahan air bukit dan sungai utama, Sungai Serdang dan Sungai Punti serta Sungai Ayer Merah.

"Limpahan air menjejaskan laluan utama dan lapan rumah di Mukim Serdang yang didiami 31 penghuni," katanya.

Selain itu, Pegawai APM Daerah Kulim, Kapten (PA) Amirul Aliff Ahmad berkata, banjir kilat yang berlaku di Taman Sang Kancil menyebabkan sebuah PPS dibuka di surau taman berkenaan.

"Paras air berkedalaman dua hingga tiga meter, sehingga kini kita membuat pemantauan banjir di kawasan yang diterima bagi mendapatkan data mangsa terlibat," katanya.

Situasi sama berlaku di daerah Merbok apabila hujan lebat dan air pasang mengakibatkan banjir kilat.

Pegawai APM Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Amirul Asyraf Mohamad Mayidin berkata, pihaknya masih membuat pemantauan paras air di Kampung Huma, Tanjung Dawai.

Menurutnya, pemerhatian cuaca turut dibuat dan bersedia sekiranya memerlukan pemindahan atau pembukaan PPS jika diberi arahan.

Dalam pada itu, Sinar Harian juga cuba mendapatkan laporan banjir kilat di beberapa daerah lain yang dilaporkan berlaku seperti di Yan, Pokok Sena dan Pendang dari semasa ke semasa.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!