Hujan lebat, beberapa kawasan di Nibong Tebal dilanda banjir kilat
NIBONG TEBAL - Seorang peniaga nasi lemak yang sedang menyiapkan masakan untuk jualan panik apabila bahagian dapur rumahnya di Kampung Sungai Kechil di sini dinaiki air banjir susulan hujan lebat sejak malam Isnin.
Zaiton Pin, 63, berkata, air mula masuk ke rumahnya pada jam 7.30 pagi menyebabkan dia dan keluarganya tidak sempat untuk mengalihkan barangan di dalam rumah.
Dia yang tinggal di kawasan itu lebih 30 tahun berkata, hanya barangan kecil yang sempat diangkat ke bahagian atas rumah sementara barangan berat yang lain ditinggalkan.
"Saya tinggal enam beranak di rumah ini bersama suami, anak lelaki, menantu dan dua orang cucu. Ketika air naik, saya sedang menyiapkan kerja di dapur kerana saya meniaga nasi lemak di kawasan ini.
"Air naik terlalu cepat, kami sekeluarga tak sempat nak angkat barang yang berat seperti tilam dan almari. Sempat angkat yang mana kecil dan ringan sahaja," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.
Pekerja bank, Mohd Zabidi Embi, 52, berkata, kejadian tersebut melibatkan lebih 100 buah rumah di kampung berkenaan.
Katanya, ini adalah kejadian banjir kilat pertama bagi tahun ini.
"Bagi tahun ini, ini kali pertama dan paras air tinggi. Tahun-tahun sebelum ini memang ada (banjir kilat) tetapi air tidak terlalu tinggi. Kali ini macam teruk sikit.
"Hujan lebat dari semalam (Isnin) menyebabkan air dari sungai seperti Sungai Buaya dan Sungai Kechil serta bukit melimpah menyebabkan beberapa kawasan di sini termasuk kampung ini dinaiki air," katanya.
Dalam pada itu, warga emas, Sarina Sairin, 65, berkata, air yang memasuki rumahnya terlalu laju menyebabkan dia dan keluarga tidak sempat untuk menyelamatkan barang seperti sofa dan perabot.
Dia yang sudah tinggal di rumah itu lebih 30 tahun berkata, kedudukan rumahnya agak rendah menyebabkan air naik sehingga 0.5 meter.
"Saya, suami, anak dan menantu sedaya upaya untuk mengangkat barang naik ke tingkat atas tetapi air naik terlalu laju. Sejak pagi tadi, air naik sehingga ke paras dada.
"Hujan lebat sejak malam semalam menyebabkan air dari bukit dan sungai melimpah. Sebelum ini ada banjir kilat tetapi tidak terlalu dalam, kadang-kadang tak masuk rumah pun," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek berkata, sehingga kini, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka untuk menempatkan mangsa banjir di kawasan Parlimen berkenaan.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya sentiasa dalam keadaan siap sedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan berkata, beliau dimaklumkan air mula naik di kawasan berkenaan pada jam 8.30 pagi Selasa susulan hujan lebat sejak malam Isnin.
"Keadaan banjir kali ini membimbangkan dan kita perlukan kerjasama semua agensi khususnya polis untuk memastikan keselamatan orang ramai.
"Ada rumah yang agak teruk dan perlu pemindahan segera. Kita minta yang terlibat dengan pemindahan ini mematuhi arahan dan nasihat pihak berkuasa demi keselamatan," katanya selepas meninjau kawasan banjir di sini pada Selasa.
Dalam tinjauan Sinar Harian, lebih 100 rumah di sekitar kawasan Parlimen Nibong Tebal terjejas selepas kediaman mereka dilanda banjir kilat.
Antara kawasan yang terlibat ialah Jawi, Sungai Kechil, Kampung Besar, Taman Cenderawasih, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sungai Udang, Taman Nibong Tebal, Kampung Sanglang, Kampung Setthu dan Taman Ilmu.
Sementara itu, dua wanita orang kurang upaya (OKU) yang terperangkap dalam banjir kilat di Jalan Bayan Kechil, Taman Nibong Tebal berjaya diselamatkan oleh anggota bomba.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal, Pegawai Bomba Kanan II (KUP) Anuar Ahmad berkata, kedua-dua wanita berusia lingkungan 50-an itu diselamatkan kira-kira jam 9.30 pagi.
"Kejadian banjir kilat berpunca daripada hujan lebat menyebabkan kawasan perumahan telah dinaiki air dengan kedalaman 61 sentimeter.
"Terdapat dua orang mangsa OKU terkandas di dalam sebuah rumah. Bagaimanapun, mereka berjaya dibawa ke tempat selamat oleh anggota yang tiba di lokasi," katanya.
Tambah beliau, keadaan di lokasi kejadian terkawal dan banjir telah beransur surut.
"Kerja-kerja pemantauan di sekitar kawasan masih dijalankan," katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!