MoU tidak berperlembagaan, bertentangan dengan nilai murni - Muhyiddin

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin Yassin
A
A
A

SHAH ALAM - Memorandum persefahaman (MoU) peruntukan pembangkang didakwa tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan seluruh rakyat Malaysia.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia perlu ditolak bukan sahaja oleh parti tersebut, malah seluruh rakyat.

“Bagi saya, peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang tidak perlu dibuat menerusi apa-apa perjanjian atau MoU.

“Ini adalah janji Pakatan Harapan (PH) dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) dan Perdana Menteri sekarang adalah daripada parti itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, semua ahli Parlimen PN sebulat suara menolak MoU kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang.

Kata beliau, pihaknya menolak MoU atas empat faktor antaranya bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

Muhyiddin mendakwa, MoU peruntukan ahli Parlimen PN itu membawa masuk elemen bertentangan dengan nilai hidup masyarakat Asia yang kuat berpegang dengan nilai moral dan agama.

Ujar beliau lagi, misalnya ia menghalang ahli-ahli Parlimen PN membuat kenyataan yang mendiskriminasi mana-mana pihak sama ada atas dasar agama, kaum atau apa-apa faktor identiti yang lain.

Artikel Berkaitan:

“Identiti lain ini termasuklah kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT). Adakah ini bermakna sekiranya ahli-ahli Parlimen PN bersetuju dengan draf MoU ini, maka mereka tidak boleh menentang sebarang dasar atau undang-undang yang mungkin akan digubal oleh Kerajaan PH-BN untuk membenarkan perlakuan LGBT pada masa hadapan?,” soalnya.

Menurut Muhyiddin, MoU tersebut seolah-olah mempunyai niat tersirat untuk mengekang kebebasan ahli-ahli Parlimen untuk menyuarakan hasrat pengundi yang memilih mereka ke Dewan Rakyat.

Tambahnya, tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia sejak merdeka, kerajaan menetapkan perkara yang boleh dituturkan dan sebaliknya terhadap ahli Parlimen di luar ketetapan yang terkandung dalam Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Perlembagaan Persekutuan.

“Misalnya MoU ini mengandungi satu bab khusus mengenai isu bangsa, agama dan Raja-Raja di mana ahli-ahli Parlimen PN dilarang untuk bersuara mengenainya. Menyentuh isu-isu ini dianggap sebagai menyebarkan kebencian.

“Ini tidak betul. Negara ini dibina di atas persefahaman antara kaum atau Kontrak Sosial yang kemudiannya menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai peruntukan-peruntukan khusus mengenai hak-hak kaum, agama Islam dan raja-raja Melayu,” katanya.

Muhyiddin juga mendakwa MoU dan kerajaan PH-BN cuba menghalang ahli-ahli Parlimen PN daripada memperjuangkan perkara-perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan menerusi suara mereka di Dewan Rakyat.

“Bagi saya MOU ini adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan nilai murni yang menjadi pegangan rakyat Malaysia. Ia mesti ditolak bukan sahaja oleh PN malah seluruh rakyat Malaysia yang cintakan negara dan memahami maksud sebenar perpaduan dan keharmonian dalam sebuah negara berbilang kaum dan agama,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!