Wanita maut jatuh lubang ketika mendaki bukit
BUKIT MERTAJAM - Seorang wanita maut selepas terjatuh ke dalam sebuah lubang saluran air ketika menjalani aktiviti mendaki bukit di Stesen Gelombang Mikro Bukit Mertajam, Jalan Kolam Cherok Tok Kun di sini pada tengah hari Selasa.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Azmi Zakaria berkata, mangsa dikenali sebagai Oh Ai Chin berusia 50 tahun dari Simpang Ampat, Nibong Tebal.
"Kita menerima panggilan kecemasan pada jam 12.59 tengah hari berhubung seorang wanita terjatuh ke dalam lubang saluran air sedalam 1.82 meter semasa menjalani aktiviti mendaki bukit.
"Kerja-kerja mengeluarkan mangsa berjaya dijalankan, namun mangsa disahkan telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah beliau, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Kata beliau, kerja menyelamat dijalankan oleh enam anggota BBP Bukit Mertajam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!