Agrobank pupuk minat pelajar bidang akuakultur guna teknologi bioflok
AGROBANK memperuntukkan RM110,000 bagi memupuk minat pelajar dalam bidang akuakultur menggunakan teknologi bioflok yang lebih lestari selain dapat menjaga alam sekitar.
Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata,menerusi kerjasama dengan Kementerian Pendidikan Malaysia, program itu akan memberi manfaat kepada 100 pelajar neurodiversiti.
Menurutnya, kolaborasi strategik itu menyasarkan 10 sekolah daripada Program Vokasional Menengah Atas (PMVA) Akuakultur dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di seluruh negara.
“Agrobank berkolaborasi dengan syarikat pengeluar benih ikan air tawar tempatan, ARC Berkat Agro Food Sdn Bhd (ARC) yang membekalkan benih ikan keli dan tilapia. Sekolah-sekolah yang terlibat akan dibekalkan set bioflok untuk pelaksanaan program ini.
“Pemilihan spesies ikan air tawar seperti tilapia adalah kerana kesesuaiannya dengan iklim tempatan dan permintaan pasaran yang memberangsangkan.
“Syarikat pembekal akan memberikan bimbingan dan latihan dari segi penjagaan dan teknikal sistem bioflok, kebiasaannya ikan-ikan ini akan mengambil masa dua hingga tiga bulan untuk matang sebelum dijadikan hasil jualan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Mengulas lanjut, Tengku Ahmad Badli Shah berkata, inisiatif tersebut bagi mempersiapkan generasi muda dalam mendepani cabaran industri agro dan pemangkin keterjaminan makanan negara.
Tambah beliau, teknologi bioflok sangat sesuai digunakan sebagai usaha menjaga kelestarian alam menerusi pengurangan pertukaran air dalam sistem ternakan.
Ujarnya, ia juga meningkatkan kualiti air dengan mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan selamat untuk pembenihan ikan.
“Agrobank akan terus berusaha dalam memastikan pelajar neurodiversiti mendapat akses pendidikan yang sewajarnya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!