Atlet bina badan sah positif doping - ADAMAS
AGENSI Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) mengesahkan atlet bina badan yang menyertai Kejohanan Bina Badan Peringkat Kebangsaan ke-53 @ Mr. Malaysia 2024 di Johor Bahru bulan lepas, didapati positif ujian doping.
ADAMAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan analisis menunjukkan kehadiran bahan terlarang dalam sampel atlet termasuk metabolisme Stanozolol seperti Stanozolol‐1´N‐glucuronide dan 16beta-Hydroxystanozolol.
Menurut ADAMAS, bahan terlarang itu tergolong dalam kategori S1.1 - Anabolic Androgenic Steroids (AAS) berdasarkan Senarai Larangan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) 2024.
"Proses pengujian kawalan doping dan analisis sampel ini adalah sah dan memenuhi Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 serta piawaian antarabangsa.
"Atlet yang terlibat telah dimaklumkan mengenai keputusan analisis itu dan diberi peluang untuk memohon analisis terhadap sampel B jika diperlukan,” menurut kenyataan itu.
Menurut ADAMAS, atlet berkenaan telah dikenakan penggantungan sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan hingga proses pendengaran selesai dan keputusan muktamad diumumkan.
ADAMAS memberi jaminan proses pengendalian kes akan dijalankan secara telus mengikut Peraturan Anti-Doping ADAMAS 2021 dan International Standard for Results Management (ISRM) yang berkuat kuasa, termasuk hak atlet untuk melalui proses pendengaran yang adil, dan berlandaskan prinsip termaktub dalam Kod Anti-Doping Dunia 2021. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!