GISBH: Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor akan buat keputusan

Kenyataan dikeluarkan MAIS berhubung isu GlSB Holding Sdn Bhd (GISBH) pada Selasa.
Kenyataan dikeluarkan MAIS berhubung isu GlSB Holding Sdn Bhd (GISBH) pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan semua hasil kajian dan perbincangan berhubung GlSB Holding Sdn Bhd (GISBH) yang dibuat sebelum ini dikemuka serta dibentangkan kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ia bagi memutuskan persoalan berhubung pembabitan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran serta amalan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sebenar.

Jelasnya, MAIS memulakan kajian berhubung kegiatan GISBH dan rangkaiannya dalam penyebaran serta amalan ajaran yang menyeleweng daripada agama Islam sejak 2020.

“Perkara ini sudah dibincangkan secara serius dalam beberapa siri perbincangan dan mesyuarat di peringkat jawatankuasa MAIS sebelum berita tangkapan serta siasatan dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap penghuni di beberapa rumah amal yang dikaitkan dengan GISBH menjadi tular baru-baru ini.

“Justeru, bagi memutuskan persoalan ini, MAIS mengarahkan semua hasil kajian dan perbincangan yang dibuat sebelum ini dikemuka dan dibentang kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor supaya persoalan berkaitan hukum syarak ini dapat diputuskan segera oleh jawatankuasa berkenaan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Abdul Aziz berkata, hasil kajian itu juga turut merangkumi isu pembabitan GISBH dalam ajaran kumpulan Al-Arqam dan rangkaiannya yang sudah diharamkan menurut fatwa diwartakan di Selangor pada 4 Februari 1993, 11 Ogos 1994 dan 21 Disember 2006.

Jelasnya, tindakan itu dibuat selaras Seksyen 47 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

“MAIS menyatakan komitmen jitu untuk membanteras isu akidah termasuk penyebaran ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam dari berleluasa dalam Selangor.

Artikel Berkaitan:

“MAIS juga menegaskan kami dan semua agensi hal ehwal Islam di Selangor sama sekali tidak berkompromi dengan GISBH atau rangkaiannya

“Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap mereka yang melakukan kesalahan jenayah mengikut undang-undang yang berkuat kuasa,” tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!