Lelaki dikhuatiri jatuh sungai
SUNGAI PETANI - Seorang lelaki dilaporkan terjatuh ke dalam sungai dekat Jeti Pasar Bisik, Kota Kuala Muda pada tengah hari Selasa.
Mangsa berusia lingkungan 30-an dipercayai masih hilang dan usaha pencarian kini sedang dijalankan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Penolong Penguasa Muhamad Syukri Hashim berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.55 tengah hari dan tiba 38 minit kemudian dengan jarak ke lokasi kejadian kira-kira 20 kilometer.
"Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 memaklumkan kejadian.
"PGO Kedah mengarahkan jentera BBP Tikam Batu ke lokasi dan setibanya di tempat kejadian mendapati terdapat mangsa dipercayai terjatuh ke muara sungai," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini identiti mangsa masih dalam siasatan.
Jelasnya, pasukan operasi telah melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat dengan menggunakan kaedah pencarian di permukaan.
Beliau menambah, operasi kini sedang dijalankan dan perkembangan terkini berhubung kejadian akan dikemas kini dari semasa ke semasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!