Hong Kong sekat sempadan, cegah kemasukan rakyat China

Kumpulan penunjuk perasaan membawa kain rentang ketika flash mob bagi menuntut kerajaan Hong Kong menutup sempadan yang menghubungkan dengan China. - FOTO: AFP
Kumpulan penunjuk perasaan membawa kain rentang ketika flash mob bagi menuntut kerajaan Hong Kong menutup sempadan yang menghubungkan dengan China. - FOTO: AFP
A
A
A

HONG KONG - Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam hari ini menggantung operasi di 10 daripada 13 lintasan sempadan dengan Tanah Besar China sebagai usaha untuk membendung penyebaran koronavirus di bandar raya tersebut.

Bagaimanapun, lapangan terbang di hab kewangan itu akan kekal dibuka kepada rakyat China walaupun sekatan sudah dilaksanakan terhadap penduduk dari wilayah Hubei yang menjadi pusat epidemik tersebut.

"Kita harus bersatu jika kita mempunyai matlamat sama. Ketika situasi kritikal ini, segelintir pihak bertindak mendesak kerajaan. Namun, tindakan seperti itu tidak akan berjaya," katanya beberapa jam selepas lebih 2,500 kakitangan Perikatan Pihak Berkuasa Pekerja Hospital (HAEA) mengadakan mogok untuk menggesa penutupan sempadan dan langkah perlindungan lebih baik terhadap kakitangan pusat perubatan.

Menurut Lam, langkah penutupan yang dibuat selepas empat lintasan sempadan ditutup pada minggu lalu bertujuan untuk mengurangkan kemasukan rakyat dari Tanah Besar China selain membolehkan pihak berkuasa memberi tumpuan kepada dua pusat pemeriksaan di sempadan dan lapangan terbang.

Difahamkan, Lam sudah mengarahkan penutupan beberapa operasi sempadan termasuk feri rentas sempadan dan perkhidmatan kereta api laju ke China.

Sebelum ini, beliau berkata, penutupan keseluruhan pintu sempadan adalah tidak sesuai dan tidak praktikal serta satu bentuk diskriminasi.

Ketika ini, hab kewangan Asia itu juga berdepan masalah kekurangan topeng muka dan kerajaan memaklumkan isu tersebut tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!