Ribut tropika Pulasan mungkin hampiri barat daya Jepun

Ribut tropika Pulasan menghampiri wilayah Okinawa dan kawasan Amami di wilayah Kagoshima di barat daya Jepun.
Ribut tropika Pulasan menghampiri wilayah Okinawa dan kawasan Amami di wilayah Kagoshima di barat daya Jepun.
A
A
A

TOKYO - Menurut agensi cuaca Jepun pada Selasa, ribut tropika besar yang semakin kuat mungkin menghampiri wilayah Okinawa dan kawasan Amami di wilayah Kagoshima di barat daya Jepun pada Rabu, lapor Xinhua.

Setakat 6 pagi waktu tempatan, ribut tropika Pulasan berada di atas perairan berhampiran Kepulauan Mariana di Lautan Pasifik dan bergerak ke barat laut pada kelajuan 30 kilometer (km) sejam, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Ribut itu mungkin akan berada paling hampir dengan wilayah Okinawa dan kawasan Amami di wilayah Kagoshima pada Rabu, katanya.

Angin dengan kelajuan sehingga 54km sejam dijangka melanda wilayah Okinawa pada Selasa, dengan angin kencang yang boleh mencapai 90km sejam, menurutnya.

Dalam tempoh 24 jam sehingga pagi Rabu, hujan sehingga 50 milimeter dijangka turun di wilayah Okinawa. Jumlah hujan juga boleh mencecah 150 milimeter di kawasan Amami dan 100 milimeter di wilayah Okinawa dalam tempoh 24 jam sehingga pagi Khamis, menurut agensi itu.

Pegawai cuaca berkata keadaan laut bergelora dijangka berlaku di kawasan itu sehingga Khamis, dan menggesa orang ramai supaya berwaspada terhadap ombak tinggi, angin kencang, gelombang ribut, tanah runtuh dan banjir di kawasan rendah. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!