[VIDEO] Patung penyu pakai topi keledar laris gara-gara 'demam' RXZ Members

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Rantai kunci patung penyu memakai topi keledar menerima sambutan luar biasa di Pasar Kedai Payang 1 di sini susulan program himpunan RXZ Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari, baru-baru ini.

Menurut seorang peniaga, Mohamad Syakir Mohd Yusof, 29, sebanyak 1,500 unit rantai kunci yang dijual di lot perniagaannya di sini habis dalam tempoh sehari.

Menurutnya, barangan itu telah mula dijual sejak program RXZ Members 5.0 pada 2023 namun ia mula tular selepas dimuat naik di TikTok.

Mohamad Syakir menunjukkan rantai penyu miliknya ketika ditemui lot perniagaannya di Pasar Kedai Payang 1 pada Selasa.
Mohamad Syakir menunjukkan rantai penyu miliknya ketika ditemui lot perniagaannya di Pasar Kedai Payang 1 pada Selasa.

>

"Tahun ni 'keychain' penyu pakai topi keledar mula tular di media sosial. Sambutan diterima sangat memberangsangkan lebih-lebih lagi bila ada program RXZ Members 6.0 baru-baru ini.

"Stok yang saya ambil dalam 1,500 unit pun habis terjual dalam masa sehari, setiap satu unit dijual dengan harga RM10.

"Buat masa sekarang, walaupun program himpunan RXZ Members sudah berakhir, pelanggan masih tidak putus-putus mencari 'keychain' ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Selasa.

Himpunan RXZ Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari bermula 13 hingga 14 September lalu di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus disertai lebih 40,000 peserta dari seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohamad Syakir berkata, dia menjangkakan stok baharu akan tiba dalam tempoh sebulan lagi memandangkan barangan itu ditempah dari China.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Nik Ramsuzilawati Nik Ramli, 39, berkata, walaupun patung tersebut telah kehabisan stok, masih ramai pelanggan yang ingin mendapatkannya.

"Dalam sehari saya terima lebih 50 pertanyaan daripada pelanggan yang ingin mendapatkan patung penyu tersebut.

"Saya terpaksa beritahu bahawa stok telah habis. Stok yang ada pun telah ditempah pelanggan. Jadi mana-mana yang datang ke premis perniagaan kita di sini, tak dapat beli lagi patung penyu ini kerana kita telah kehabisan stok buat masa ini," katanya.

Nik Ramsuzilawati menunjukkan antara rantai kunci yang sudah ditempah pelanggan.
Nik Ramsuzilawati menunjukkan antara rantai kunci yang sudah ditempah pelanggan.

Nik Ramsuzilawati berkata, sebanyak 500 unit patung tersebut habis dijual dalam tempoh dua hari.

"Saya tak sangka pula sambutan diterima amat menggalakkan sebab kalau ikutkan kita dah jual patung ni sejak tahun lepas.

"Tahun ini kita tak sempat jual lama, habis sahaja program RXZ Members, patung ini pun habis.

"Kalau ikutkan ramai lagi peniaga lain di sini yang jual patung sama, tetapi mereka semua juga kehabisan stok," ujarnya.

Nik Ramsuzilawati menunjukkan unit terakhir rantai kunci patung penyu dalam simpanannya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Kedai Payang 1 di Kuala Terengganu.
Nik Ramsuzilawati menunjukkan unit terakhir rantai kunci patung penyu dalam simpanannya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Kedai Payang 1 di Kuala Terengganu.

Menurut Nik Ramsuzilawati, jumlah pengunjung di Pasar Kedai Payang 1 sempena musim cuti persekolahan kali ini amat luar biasa kerana jalan penuh sesak sejak awal pagi hingga petang.

"Cuti sekolah kali ini pelanggan memang ramai. Mereka datang bertali arus sejak awal pagi hingga kedai ditutup pada sebelah petang, barulah pengunjung agak berkurangan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!