PRK Mahkota: BN masih bincang keperluan manifesto

Syed Hussien ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Usahawan di DUN Mahkota pada Selasa.
Syed Hussien ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Usahawan di DUN Mahkota pada Selasa.
A
A
A

KLUANG - Barisan Nasional (BN) masih berbincang sama ada wujud keperluan untuk melaksanakan manifesto khas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang kini masuk hari keempat berkempen.

Calonnya, Syed Hussien Syed Abdullah berkata, setakat hari ini gerakan kempen BN adalah berteraskan Agenda Maju Johor 2030.

Menurutnya, agenda itu sendiri telah merangkumi pelbagai aspek untuk semua peringkat masyarakat dan hanya perlu diperkasakan di peringkat kawasan itu.

“Secara khususnya kami masih berbincang (untuk umum manifesto PRK DUN Mahkota) tapi asasnya, kita akan perkasakan teras (Agenda) Maju Johor (2030).

“Kami daripada peringkat negeri menyasarkan konsep Maju Johor ini sebagai antara perkara yang kita tekankan kerana ia telah meliputi segala aspek golongan berkeperluan baik dari segi orang muda, wanita, warga emas dan kanak-kanak.

“Jadi teras agenda ini akan jadi perkara yang kita tekankan dan akan cuba perkasakan di kawasan DUN Mahkota,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Usahawan di sini pada Selasa.

Syed Hussien (tengah) beramah mesra bersama usahawan muda pada majlis perjumpaan di Kampung Tengah pada Selasa.
Syed Hussien (tengah) beramah mesra bersama usahawan muda pada majlis perjumpaan di Kampung Tengah pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berkata, berbaki tempoh berkempen, gerakan kempen BN akan dikekalkan secara pintu ke pintu dalam skala kecil dengan memberi tumpuan secara berkelompok.

Artikel Berkaitan:

“Kita rasakan sentuhan ini lebih penting bila kita bertemu secara sendiri.

“Saya nampak mereka (pengundi) selesa dengan cara begitu,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini jumlah pengundi yang sudah disantuni belum mencapai 50 peratus, namun berusaha memaksimumkannya menerusi pertemuan secara kelompok ke kelompok setiap hari

“Nak ukur secara jumlah kita tak dapat angka secara penuh (pengundi yang sudah disantuni).

“Belum lagi (capai 50 peratus) kerana jumlahnya terlalu besar sebab lebih 66,000 ini bukan angka kecil.

“Kita akan sasarkan kepada kumpulan kelompok mengikut kesesuaian dan keadaan,” katanya.

PRK kerusi DUN Mahkota menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Kerajaan Perpaduan daripada BN dan Perikatan Nasional (PN).

BN mempertaruhkan Syed Hussien yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, manakala PN diwakili Mohamad Haizan Jaafar, 61.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!