Hanya mereka yang sihat dibawa pulang: TPM
PETALING JAYA - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memaklumkan jumlah sebenar rakyat Malaysia yang akan dibawa pulang dari Wuhan masih belum dapat diputuskan.
Ini kerana katanya rakyat Malaysia perlu berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan untuk menjalani saringan kesihatan sebelum mereka dapat menaiki pesawat untuk pulang ke Malaysia.
"Sebab kita kena buat saringan untuk mereka sama ada mereka sihat dan layak untuk dibawa pulang. Mereka perlu sihat sepenuhnya untuk meneruskan perjalanan sebelum dapat dibawa pulang.
"Sehingga malam ini, kita masih belum lagi dapat kenal pasti jumlah sebenar warga Malaysia yang akan dibawa pulang ke tanah air," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Persatuan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zong) di Seri Kembangan malam ini.
Terdahulu, pesawat AirAsia, AK8264 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) bagi Misi Bantuan Kemanusian dan Bencana (HADR) tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Tianhe Wuhan, China pada jam 8.53 malam waktu Malaysia.
Semakan radar antarabangsa FlightRadar24.com mendapati pesawat khas itu bertolak pada jam 4.38 petang bagi membawa pulang 141 rakyat Malaysia yang berdepan perintah berkurung dekat wilayah Hubei.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!