Kenali 5,000 jenis herba, sayur
SERDANG – Kira-kira 5,000 jenis herba dan sayuran ditampilkan di Laman Sayur, Herba dan Kelulut di bawah kelolaan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Zon 5: Agri-Park, MAEPS sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini.
Pengunjung bukan sahaja boleh membeli sayuran dan herba segar yang dijual malah mengenali dan mempelajari secara lebih dekat kegunaan dan khasiat tanaman-tanaman herba ini.
Timbalan Pengarah Pusat Penyelidikan Tanaman IndustrI MARDI, Dr Yaseer Suhaimi Mohd berkata, pengunjung turut akan menerima penerangan daripada pakar bertugas.
“Kita alu-alukan juga kehadiran usahawan yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang tanaman herba, sayur-sayuran termasuk yang mahu mengkomersialkan ternakan lebah kelulut,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Beliau berkata, sehingga Isnin, lebih 10,000 pengunjung hadir ke laman berkenaan bagi merasai pengalaman berada dalam struktur tanaman vertikal yang mempunyai 100 koleksi herba berizom.
“Di Zon Faktor WOW Laman Herba ini terdapat 35 spesies herba berizom yang dipamerkan termasuklah kaempferia, curcuma, zingiber, etlingera dan alpinia.
“Contoh yang popular adalah kunyit (temu), halia, cekur, bawang, kantan dan lempoyang (bonglai),” jelasnya.
Selain itu, di Laman Herba juga turut diadakan bicara santai dan demonstrasi teknologi pembiakan klon kopi leberica, teknologi fertigasi halia dan kunyit hitam.
Ujarnya, bagi memberi nilai tambah kepada pengunjung juga, demonstrasi turut meliputi penghasilan mintak pati untuk menghasilkan sabun dan losyen berasaskan herba dan kelapa.
“Minyak pati, minyak kelapa dan herba digabungkan menjadi formulasi sabun berkhasiat ditambah dengan aromaterapi daun kayu manis, daun gelam, lemon myrtle dan serbuk lulur," kongsinya.
Yaseer Suhaimi berkata, di Zon Minyak Pati dan Kubah Inggeris pula pengunjung dapat merasai suasana dingin seperti di Cameron Highlands.
“Suhu dingin dan sejuk dikekalkan dalam kubah berkenaan bagi memastikan bunga-bungaan dan juga herba dapat memberi kesan aromaterapi kepada pengunjung.
“Antara bunga yang terdapat dalam kubah ini ialah lavender, orkid, bunga mawar, dahlia, sundal malam, kekwa dan siti zubaidah yang boleh diekstrak untuk dijadikan minyak wangi,” ujarnya.
Sudut bergambar
Yaseer Suhaimi berkata, pengunjung yang hadir dapat mengabadikan gambar di sudut menarik disediakan seperti di rumah Hobbit serta beberapa sudut lain telah dihias bagi menampilkan ciri-ciri unik yang ada pada laman itu.
“Susun atur tanaman sayur-sayuran menjalar seperti timun, petola dan aneka jenis labu ditanam secara tergantung untuk menghasilkan suasana unik kepada pengunjung.
“Ini termasuklah binaan pagar sesat sejauh 200 meter menjadikan struktur landskap menarik menampilkan laluan berliku dengan pelbagai aktiviti untuk pengunjung kanak-kanak seperti treasure hunt dan escape room," tambahnya.
Yaseer Suhaimi berkata, laman ini boleh dilawati pada waktu malam apabila kawasan diterangi dengan cahaya lampu sambil pengunjung melihat demonstrasi penangkap serangga dan melihat bunga berkembang lewat malam seperti bunga harum sundal malam, pitahaya dan bakawali.
Di samping itu terdapat 11 aktiviti demonstrasi masakan unik pelbagai bangsa dan negara turut diadakan.
Antara menu masakan adalah nasi ulam, ikan masak cili api pegaga, pucuk asam gelugor, botok ikan tenggiri, punten bunga telang, bergedel merunggai, vietnamese spring roll ala Malaysia dan langos (Hungarian Street Food).
Pada 19 September, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani akan membuat demontrasi masakan tradisional Pahang manakala Pertandingan Chef Cilik pula akan diadakan pada 21 September.
Info
Zon Laman Herba
- AromaterapI
- Kesejahteraan wanita
- Faktor WOW
- Sulaman dan masakan
- Minyak pati dan kubah Inggeris
- Laman sesat
- Bicara Santai dan demonstrasi teknologi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!